Friday, May 29, 2020

Ke mana Mahathir?

Nicholas Chung
-May 29, 2020 9:39 AM
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang keahliannya dalam PPBM dilucutkan malam tadi.

PETALING JAYA: Pelucutan keahlian Dr Mahathir Mohamad daripada PPBM menyebabkan seorang penganalisis politik menjangkakan tindak balas agresif daripada bekas perdana menteri itu, sementara yang lain menggesanya supaya bersara daripada politik.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Mahathir bukan Mahathir jika beliau menerima tamparan terbaru yang dihadapinya itu begitu sahaja.

Bagaimanapun Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, beliau percaya telah tiba masanya Mahathir memberi laluan kepada ahli politik lebih muda.

Azman memberitahu FMT bahawa beliau percaya usaha Mahathir untuk merebut semula kedudukannya sebagai pengerusi PPBM belum berakhir.

Justeru beliau memberi amaran bahawa keadaan itu akan mencetuskan ketidakstabilan dalam PPBM pada saat ia perlu mempertahankan keutuhannya dalam menghadapi rakan kongsinya yang lebih menonjol dalam Perikatan Nasional (PN), iaitu Umno dan PAS.

“Dalam sejarah pergelutan politik Mahathir, beliau cenderung untuk menjadi lebih agresif apabila ditekan oleh para pencabar dan musuh politiknya,” kata beliau.

“Mahathir akan memastikan beliau boleh kembali kepada PPBM, selain memastikan parti itu kembali ke landasan yang diambilnya sebelum pilihan raya umum ke-14.”

Azmi berkata, Mahathir sepatutnya membiarkan sekutunya yang lebih muda mengambil alih perjuangan politiknya.

Beliau menyebut nama Mukhriz Mahathir dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut dilucutkan keahlian bersama-sama Mahathir.

“Suasana politik sekarang jauh berbeza berbanding suasana sebelum pilihan raya umum ke-14,” katanya. “Lebih baik Mahathir bersara dan biarkan ahli politik lebih muda tentukan haluan.”

Azmi berkata, Mahathir kini tertakluk kepada ihsan parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain, dengan menambah bahawa beliau tidak akan berjaya menarik ahli Parlimen PPBM lain supaya keluar parti.

Katanya, pilihan terbaik bagi kelangsungan politik Mahathir ialah dengan mengambil sikap berkecuali, tetapi mesra PH bagi membolehkan beliau merangka strateginya tanpa halangan.

Azman dan Azmi bersetuju bahawa pelucutan keahlian Mahathir memberi ruang kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memperkukuh kuasa dan pengaruhnya dalam PPBM.

Azman berkata, Muhyiddin merancang langkah pelucutan keahlian itu tepat masa berlatarbelakangkan tarikh pemilihan parti tersebut tidak lama lagi.

Mahathir dijangka mengekalkan jawatan pengerusi PPBM tanpa pertandingan, sementara Mukhriz akan mencabar Muhyiddin untuk jawatan presiden.

Azmi berkata, langkah Muhyiddin itu menunjukkan keazaman politiknya kerana keputusan memecat pengasas parti sangat berisiko.

Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah dimaklumkan tentang pelucutan keahlian masing-masing dalam surat berasingan semalam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-