Friday, May 22, 2020

PAS sudah bincang, terima siapa saja calon BN, PN di Chini

Shakira Buang
Diterbitkan Hari ini 9:57 pm

PRK CHINI | PAS telah mengadakan perbincangan berhubung pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berikutan kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, pada 6 Mei lalu.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata perbincangan lanjut bersama Perikatan Nasional (PN) akan dibuat dalam masa terdekat ini.

"Kita dah bincang di peringkat kita (PAS) dan memandangkan kerusi tersebut adalah kerusi yang dimenangi oleh BN (sebelum ini), jadi kita akan mengadakan perbincangan yang lebih lanjut dengan BN dan PN untuk kerusi DUN Chini.

"Dan nanti keputusan akhir adalah daripada PN," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menjelaskan lanjut, Kamaruzzaman berkata PAS juga sepakat untuk memberi sokongan kepada sesiapa saja calon yang akan dipertaruhkan BN-PN pada PRK itu nanti.

"Dari sudut calon kita akan menerima siapa sahaja calon yang diputuskan... InsyaAllah oleh PN. Maknanya siapa sahaja calon PN kita akan terima dan kita akan mendukung calon tersebut," katanya.

Kamaruzzaman berkata demikian ketika diminta mengulas calon PRK DUN Chini, Julai depan.

PRK Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.
Pada PRU14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PH (Bersatu) Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

Mengulas kaedah yang akan digunakan PN sepanjang kempen PRK DUN Chini memandangkan ia bakal berlangsung dalam suasana perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), Kamaruzzaman berkata jentera pilihan rayanya akan meneliti perkara itu.

"Kempen dalam keadaan PKPB ini, jentera pilihan raya kita nanti kita akan tengok bagaimana kaedah kempen yang terbaik untuk kita dekati pengundi di DUN Chini nanti.

"Jadi, bergantung kepada keadaan semasalah," katanya.

Pada 14 Mei lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan mengesahkan Umno akan meletakkan calon pada PRK DUN Chini.

Wan Rosdy yang juga menteri besar Pahang berkata, PAS juga tidak mempunyai masalah untuk Umno bertanding mempertahankan kerusi itu walaupun kedua-dua parti itu bertembung pada PRU14 lalu.

Umno dan PAS mula membentuk Muafakat Nasional (MN) sejak PRK Cameron Highlands pada Januari 2019 dan kerjasama itu diteruskan dalam beberapa siri pilihan raya kecil selepas itu.

MN bersama-sama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin, GPS dan parti-parti kecil lain, membentuk kerajaan Perikatan Nasional yang runtuh susulan "Langkah Sheraton."

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-