Friday, May 29, 2020

Peletakan jawatan Tun M sebagai Pengerusi Bersatu sah

azrulhakimie

Sah ikut perlembagaan parti, telah diperakui oleh ROS


KUALA LUMPUR, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 24 Feb lalu, adalah sah mengikut perlembagaan parti itu, dan telah pun diperakui oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, berikutan itu juga tindakan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin memangku jawatan pengerusi itu juga sah, sehingga pemilihan baharu diadakan.

“Presiden parti ambil alih kedudukan Pemangku Pengerusi Bersatu, mengikut fasa yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti pada 24 Feb lalu, selepas Dr Mahathir sendiri letak jawatan.

“Dalam tempoh berkenaan sebagai adab Melayu, kita cuba pujuk… Dr Mahathir sendiri mengaku untuk ambil balik (jawatan), cuma beliau cakap tunggu dulu dan dalam keadaan itu, urusan perjalanan parti telah diteruskan,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, setelah terlalu banyak curiga dan salah faham, maka Setiausaha Kerja Bersatu Kapten (B) Muhamad Suhaimi Yahya, mendapatkan surat pengesahan daripada ROS berhubung perkara itu.

Kandungan surat daripada ROS itu katanya, berbunyi “Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia ambil maklum Tun Dr Mahathir Mohamad, telah meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu melalui surat 24 Feb berkuatkuasa serta merta, dan telah dikemukakan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu, sehubungan peletakan jawatan itu, Presiden Bersatu berhak memangku jawatan itu, sehingga pemilihan diadakan mengikut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu.

“Fasal 16 iaitu tugas pegawai tertinggi Bersatu, Fasal 16.9 jika pengerusi berhenti atau dihentikan, maka Presiden berhak memangkunya sehingga diadakan pemilihan mengikut fasal 16.3, dan ia mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas mengikut Fasal 16.2”.

Beliau berkata, sehubungan itu berdasarkan dokumen dilampirkan iaitu surat peletakan jawatan, Pengerusi ROS mengesahkan peletakan jawatan Dr Mahathir adalah sah, dan pemangkuan jawatan oleh Muhyiddin juga sah dan masih berkuatkuasa, selaras dengan peruntukkan Perlembagaan Bersatu.

“Hari ini beliau (Dr Mahathir) bukan sahaja tidak lagi menjadi Pengerusi Bersatu, tetapi juga bukan lagi ahli parti ini,” katanya. 
Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-