Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Thursday, May 28, 2020

Pertemuan sulit ‘tumbangkan’ kerajaan PH Selangor?

By Nizam Zain
- 28 May 2020

Kelihatan kenderaan rasmi kerajaan jenis Proton Perdana berwarna hitam dipercayai dinaiki oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba bersama rombongannya meninggalkan kediaman Menteri Besar Selangor di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Belum pun seminggu usia Kerajaan Negeri Perikatan Nasional (PN) di Kedah kini timbul pula desas-desus Kerajaan Selangor pula dijangka tumbang tidak lama lagi.

Lebih menggemparkan apabila usaha untuk ‘merampas’ Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) didalangi oleh beberapa pemimpin yang sama di sebalik Langkah Sheraton dahulu.

Menurut sumber MalaysiaGazette, satu pertemuan sulit berlaku di antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Amirudin Shari di kediaman Rasmi Menteri Besar (MB) Selangor di sini hari ini.

Ia mula dihidu apabila penularan gambar menu makanan yang disajikan kepada 30 tetamu di kediaman MB Selangor hari ini di mana 20 daripada adalah individu bertaraf VVIP di kediaman rasmi itu.

Lebih menghairankan apabila pertemuan tertutup itu bermula jam 12 tengahari sehingga 3 petang tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette ke kediaman rasmi MB Selangor mendapati, tidak kelihatan kenderaan rasmi yang membawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi mahupun Menteri Dalam Negeri itu.

Sebaliknya, kelihatan kenderaan rasmi kerajaan jenis Proton Perdana berwarna hitam dipercayai dinaiki oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba bersama rombongan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

MalaysiaGazette menganggarkan hampir 10 kenderaan pelbagai jenis daripada KKM meninggalkan kediaman rasmi MB Selangor bermula jam 2.24 petang hingga 3.09 petang tadi.

Sementara itu, MalaysiaGazette juga dimaklumkan pertemuan sulit itu sebenarnya sudah dirancang lebih awal sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Memandangkan hubungan Mohamed Azmin dan Amirudin dikatakan tegang sebelum ini, rundingan berhubung pertukaran pentadbiran Selangor itu tidak dihadiri oleh Ahli Parlimen Gombak itu.

Sebaliknya Mohamed Azmin hanya menghantar wakilnya sahaja namun sumber tidak memberitahu tarikh dan masa pertemuan yang sebenarnya dilakukan oleh bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

MalaysiaGazette cuba mendapatkan pengesahan daripada pejabat MB Selangor berkenaan pertemuan sulit itu dan menurut sumber, perjumpaan itu merupakan kunjungan hormat Menteri Kesihatan Malaysia bersama rombongan KKM kepada MB Selangor dan ia dibuat secara tertutup.

Desas-desus Kerajaan Selangor bakal tumbang selepas tindakan Lembaga Disiplin PKR yang melakukan pembersihan parti itu termasuk memecat dan menggantung keahlian beberapa Ahli Dewan Undangan (ADUN) PKR di Selangor.

Antara yang dipecat daripada PKR ialah Mohamed Azmin sendiri yang juga ADUN Bukit Antarabangsa dan ADUN Gombak Setia, Hilman Idham.

Bagi ADUN di Selangor yang digantung keahliannya ialah Haniza Talha (ADUN Seri Setia) yang juga Ketua Wanita Keadilan kerana menghadiri pertemuan dengan bekas pemimpin PKR itu, Mohamed Azmin dan Zuraida Kamarudin pada Februari lalu.

Selain itu, lima ADUN Bersatu juga kini menjadi pembangkang di Selangor, iaitu Harumaini Omar (Batang Kali); Mohd Shaid Rosli (Jeram); Sallehudin Amiruddin (Kuang); Adhif Syan Abdullah (Dengkil) dan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Kedudukan PH di Selangor semakin goyah apabila beberapa ADUN PKR di Selangor yang sebelum ini didakwa menyokong Mohamed Azmin mungkin akan menyokong kerajaan PN.

Malah sumber memberitahu ADUN-ADUN PKR itu telah dihubungi Mohamed Azmin sebelum ini dan mereka didakwa bersetuju membentuk Kerajaan PN di Selangor. 

MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-