Saturday, May 30, 2020

PPBM pecat Dr M takkan jejas undi Melayu di Chini, kata penganalisis

Sean Augustin
-May 30, 2020 10:43 AM

Kamarul Zaman Yusoff berkata, pemecatan Dr Mahathir Mohamad daripada PPBM mungkin meningkatkan undi bagi Umno dalam PRK Chini.

PETALING JAYA: Dua penganalisis berpendapat pemecatan Dr Mahathir Mohamad daripada PPBM tidak banyak menjejaskan cara orang Melayu mengundi pada Pilihan Raya Kecil Chini pada Julai nanti.

Azmi Hassan daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, hanya “jumlah tidak signifikan” pengundi Melayu akan terasing, manakala Kamarul Zaman Yusoff daripada Universiti Utara Malaysia menyifatkan pengaruh bekas perdana menteri itu di Chini “sangat kecil”.

Azmi berkata, kebanyakan kemenangan PPBM dalam pilihan raya 2018 dicapai dengan bantuan yang banyak daripada penyokong DAP, PKR dan Amanah.

PPBM meninggalkan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu.
Azmi Hassan
Dari segi populariti dalam kalangan pengundi Melayu, Azmi berkata, PPBM ketinggalan di belakang Umno dan PAS yang kini menjalin kerjasama politik.

“Pengundi bukan Melayu yang menyokong PPBM pada PRU14 tentunya masih menyokong PH, tanpa mengambil kira pemecatan Mahathir,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, cara lebih baik untuk mengukur impak pemecatan Mahathir ialah melihat jika ia akan menyebabkan pembelotan dalam PPBM.

Kamarul meragui Mahathir mempunyai pengaruh besar di seluruh Pahang.

Beliau mendapati Chini, sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), terletak di bawah kubu kuat Pekan, di mana bekas perdana menteri, Najib Razak ialah ahli Parlimennya.
Kamarul Zaman Yusoff
“Pemecatan Mahathir daripada PPBM mungkin meningkatkan undi bagi Umno.”

Kamarul mengkritik Mahathir kerana tidak konsisten dalam pelbagai isu dan beliau secara perlahan-lahan semakin dilupakan, mungkin popularitinya hanya kekal di Kedah.

PRK Chini akan diadakan pada 4 Julai ini susulan kematian penyandang, Abu Bakar Harun daripada Umno, yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,622 undi selepas menewaskan calon PAS dan Pakatan Harapan pada PRU14 lalu.

Khamis lalu, PPBM menghentikan serta-merta keahlian Mahathir dan 4 ahli Parlimen lain kerana mereka duduk bersama blok pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Empat yang lain ialah anak Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq Abdul Rahman, Amiruddin Hamzah dan Maszlee Malik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-