Wednesday, June 3, 2020

Kami pegang prinsip demokrasi, kata PH Johor selepas amaran Sultan bubar DUN

FMT Reporters
-June 3, 2020 4:58 PM

(Dari kiri) Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP negeri Liew Chin Tong.

PETALING JAYA: Selepas peringatan keras Sultan Johor bahawa Dewan Negeri akan dibubarkan “serta-merta” jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat, Pakatan Harapan (PH) negeri berkata pihaknya berpegang teguh kepada prinsip demokrasi berparlimen.

Menerusi kenyataan bersama, gabungan itu berkata mereka bersedia mendepani situasi politik semasa yang sedang berlaku.

“PH Johor juga menyatakan komitmen terhadap amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi tulang belakang kepada negeri serta negara kita.

“PH Johor akan sentiasa berpegang teguh prinsip-prinsip tersebut dalam mendepani apa jua isu serta situasi politik semasa,” katanya.

Menerusi kenyataan bersama yang ditandatangani Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP negeri Liew Chin Tong, gabungan pembangkang itu mengambil maklum dan menjunjung titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Terdahulu Sultan Johor mengingatkan Dewan Negeri akan dibubarkan “serta-merta” jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat.

Sultan Ibrahim kecewa perebutan kuasa berlaku dalam keadaan rakyat sedang susah.

“Mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat. Saya tidak boleh tengok rakyat menderita, dan tidak akan biarkan negeri dikucar-kacirkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sultan Ibrahim berkata rakyatnya akan diberi peluang untuk memilih wakil rakyat baru jika Dewan Negeri bubar.

“Saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-