Friday, June 5, 2020

Muhyiddin dapat mandat penuh MPT Bersatu sebagai PM kelapan

By Manzaidi Mohd Amin
       - 5 June 2020

Muhyiddin mendapat mandat dan sokongan penuh MPT Bersatu sebagai PM kelapan.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam tadi menyokong dan memberikan mandat penuh terhadap kepimpinan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong berlandaskan perlembagaan negara.

Beliau berkata, dalam mesyuarat itu, MPT mengiktiraf tugas yang digalas Muhyiddin sebagai pemangku Pengerusi yang sah selaras Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, setelah peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi parti pada 24 Februari 2020.

Hamzah Zainuddin
“Selain itu, mesyuarat juga mengesahkan keputusan untuk Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan pada mesyuarat MPT 23 Februari lalu dan pengumuman rasmi dibuat oleh Muhyiddin selaku pemangku Pengerusi pada 24 Februari itu adalah sah dan teratur,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) kira-kira jam 10 malam tadi, menurut Hamzah berjalan dengan lancar dan penuh tertib.

Beliau turut menyentuh mengenai status dirinya sebagai Setiausaha Agung Bersatu, yang dilantik bagi menggantikan Senator Datuk Wira Marzuki Yahya yang diberhentikan melalui surat pemberhentian bertarikh 18 Mac 2020.

Katanya, pelantikan beliau sebagai Setiausaha Agung Bersatu yang baharu berkuatkuasa 26 Mac lalu adalah sah dan teratur mengikut perlembagaan parti.

Tegas beliau, mesyuarat MPT juga mengesahkan keahlian Tun Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr. Maszlee Malik terhenti secara serta-merta menurut peruntukan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan Bersatu dan tafsiran MPT berhubung terhentinya keahlian mereka adalah muktamad.

“MPT turut mengesahkan Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya adalah sekian lama Setiausaha Kerja Bersatu yang sah dan sebarang surat pemakluman yang ditandatangani olehnya adalah terpakai secara rasmi.

“Saya juga hendak memaklumkan, keputusan memuktamadkan penyertaan Bersatu dalam gabungan parti politik baru yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Bersatu adalah bertepatan dengan matlamat, tujuan dan dasar parti.

“Pada kesempatan ini, MPT merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir; mantan Timbalan Presiden, Mukhriz; mantan Ketua Armada, Syed Saddiq dan semua ahli MPT yang telah meninggalkan parti atas segala sumbangan dan pengorbanan yang mereka curahkan kepada parti,” katanya.

Beliau menjelaskan, dengan pengesahan dan ketetapan yang telah diambil pada mesyuarat MPT semalam, Hamzah menyeru kepada ahli dan pimpinan akar umbi untuk kekal istiqamah bersama parti demi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air.

Namun, media turut melaporkan, mesyuarat malam tadi kecoh apabila empat ahli MPT bertindak keluar dari mesyuarat tergempar parti itu.

Mereka ialah Datuk Abu Bakar Yahya, Akhramsyah Muammar Sanusi, Ulya Husamuddin dan Tariq Ismail.

Kesemua mereka keluar kira-kira jam 10.50 malam.

Menurut Akramsyah Muammar, tindakan itu dibuat sebagai tanda protes terhadap tindakan Muhyiddin mengugurkan Tun Dr Mahathir sebagai pengerusi Bersatu. 
MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-