Monday, June 1, 2020

Pemandu mabuk pandu lawan arus didakwa bunuh penyelia Alam Flora

Bernama
-June 1, 2020 12:23 PM
Teoh Kian Peng yang berbaju putih dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Seorang peraih ikan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh Irwan Herman Kamarudin yang maut selepas keretanya dirempuh sebuah kenderaan dipandu melawan arus di Jalan Pintasan Kuantan minggu lalu.

Teoh Kian Peng, 42, yang berbaju putih dan berseluar pendek hitam kelihatan tenang mengaku faham terhadap pertuduhan ke atasnya yang dibacakan di depan Majistret Najwa Hashim.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang berasal dari Tanah Putih di sini, didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran stesen minyak Petronas di Jalan Pintasan Kuantan pada 9.20 malam 25 Mei lalu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abd Ghani tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan itu ialah kesalahan yang tidak boleh dijamin dan memohon tertuduh direman di Penjara Penor di sini sementara menunggu perbicaraan.

“Kami juga mohon diberikan tarikh sebutan bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan 4 laporan, iaitu bedah siasat, kimia, forensik dan laporan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).”

Tertuduh diwakili peguam Tay Yi Kuan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Julai ini.

Irwan Herman, 41, penyelia Alam Flora Sdn Bhd, maut selepas kereta Toyota Yaris yang dipandunya dirempuh kenderaan pacuan 4 roda Toyota C-HR dipandu seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.

Siasatan awal polis mendapati kenderaan itu dipandu melawan arus sejauh 7km dari susur masuk Jalan Pintasan Kuantan di Semambu, sebelum bertembung kereta mangsa yang dalam perjalanan ke Gebeng untuk bekerja syif malam pada hari kejadian.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-