Sunday, July 5, 2020

Ahli Parlimen pembangkang bantah tukar Speaker Dewan Rakyat

Oleh Rohaniza Idris
roha@bh.com.my
Wakil pembangkang mahu Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dikekalkan. 
- NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

KUALA LUMPUR: Sekumpulan ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju dengan cadangan penukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalannya.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, jawatan berkenaan harus berkecuali dan tidak terkesan dengan mana-mana pergolakan politik.

Mereka masing-masing mewakili PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Warisan Sabah (WARISAN), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Bebas.

Kenyataan itu menyebut, Parlimen adalah institusi penting sebagai wadah demokrasi dan membawa suara rakyat.

"Ia tidak harus dijadikan medan percaturan politik secara sewenang-wenangnya tanpa sebab munasabah," kata kenyataan membabitkan tujuh ahli Parlimen mewakili parti politik pembangkang.

Mereka merangkumi Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (AMANAH-Hulu Langat); Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang), Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam).

Turut tersenarai Datuk Liew Vui Keong (WARISAN-Batu Sapi), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) Baru Bian (Selangau-PSB).

Kenyataan itu merujuk usul dicadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat untuk menamatkan khidmat Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming.

Mohamad Ariff dilaporkan mengesahkan menerima usul mencadangkan khidmatnya bersama Kor Ming ditamatkan, selari Peraturan Majlis Mesyuarat serta tanpa berat sebelah.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan turut mengesahkan usul itu dibawa Perdana Menteri dan diserahkan kepada Dewan Rakyat pada 26 Jun lalu.

Kenyataan tujuh ahli Parlimen itu menyatakan Mohamad Ariff dan Kor Ming berkhidmat dengan penuh profesional sebagai pengelola dan timbangtara Dewan Rakyat.

"Tidak ada asas kukuh untuk menyingkirkan kedua-duanya. Sejak pelantikan Yang di-Pertua sebagai Speaker Parlimen, pelbagai reformasi dan penambahbaikan Parlimen dilancarkan secara konsisten demi memulihkan martabat institusi Parlimen.

"Langkah pembaharuan diperkenalkan untuk mempertingkatkan mutu dan memastikan ketelusan prosiding Parlimen.

"Antaranya menubuhkan enam Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang, Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender serta mewujudkan Kumpulan-Kumpulan Rentas Parti untuk lebih merakyatkan Parlimen," kata kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-