Thursday, July 30, 2020

Bersatu dijangka sertai Muafakat Nasional, kata sumber

Haspaizi Zain & Hariz Mohd
Diterbitkan Hari ini 8:09 am

Bersatu akan bergabung dalam pakatan politik Muafakat Nasional (MN) dengan Umno dan PAS bagi mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), menurut sumber.

Keputusan itu dikatakan hasil daripada pertemuan semalam membabitkan anggota Parlimen Umno dan PAS dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin susulan keputusan mahkamah terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak pada Selasa lalu.

"Pertemuan dengan PM bagi mendapatkan pendirian berhubung kerjasama dengan Umno BN.

"PM memberi komitmen kerjasama dengan Umno BN khususnya bagi menghadapi PRU15.

"Muhyiddin juga menyatakan yang Bersatu akan turut menyertai Muafakat Nasional. Ini bagi memudahkan urusan PRU15 nanti termasuk agihan kerusi," katanya.

Difahamkan, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa lalu - yang mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah berkaitan SRC International Sdn Bhd - menimbulkan rasa jengkel di kalangan akar umbi Umno.

Ini diikuti dengan seruan agar parti berasaskan Melayu itu mempertimbangkan semula kerjasama dengan Bersatu di bawah PN.

Tidak lama selepas keputusan mahkamah, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi juga membuat kenyataan kepada media menyatakan bahawa Umno akan membuat "keputusan politik besar" sebagai respon terhadap keputusan tersebut.

Bagaimanapun, menurut sumber, langkah Bersatu bergabung dengan MN tidak akan mempengaruhi kedudukan PN sebagai sebuah gabungan politik yang longgar.

"Cuma penyertaan Bersatu (dalam MN) untuk memperkukuhkan muafakat dan kerjasama," tambah sumber itu.

Sementara itu, Malaysiakini juga menghubungi Zahid untuk bertanya mengenai pertemuan dengan Muhyiddin dan keputusan yang dikatakan untuk bersama di bawah PN.

Berhubung soalan itu, beliau mengatakan pertemuan itu memutuskan untuk "perkukuh MN namun maintain (kekal) dalam PN".

Ketika diminta menjelaskan lebih lanjut apakah ini bermaksud Bersatu akan bergabung dengan Umno, bekas timbalan perdana menteri itu memberi jawapan sebaliknya.

Bagaimanapun beliau memberi isyarat bahawa MN akan membuat pengumuman segera mengenai keputusan yang telah mereka capai dalam pertemuan semalam.

"Bersatu tak akan masuk Umno. Pemimpin-pemimpin dalam MN akan mengumumkan bila tiba masanya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-