Tuesday, July 28, 2020

Kes Najib: PN di hujung tanduk, hilang majoriti mudah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
        ainulillia

Bakal ganggu hubungan dalam MN, PAS sering pertahankan Najib


BANGI, 7 Zulhijjah 1441H, Selasa – Keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah di atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta dijangka memberi kesan baik kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, kedudukan Perdana Menteri akan bertambah kukuh di mata rakyat kerana imejnya yang dilihat berazam mahu mewujudkan integriti tinggi di negara ini.

Walaupun keputusan mahkamah tiada kaitan dgn Muhyiddin, tetapi secara umumnya, persepsi terbina di mana Perdana Menteri tidak mengganggu proses mahkamah, kata beliau.

Pun begitu, pada masa yang sama, katanya lagi, kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga semakin di hujung tanduk kerana bakal kehilangan satu daripada dua majoriti mudah di Parlimen.

“Kedudukan Najib Razak sebagai Ahli Parlimen bakal tergugat. Penentang-penentang Muhyiddin seperti Dr Mahathir dan Pakatan Harapan (PH) akan terus bersemangat untuk menjatuhkannya.

“Politik negara kekal panas dengan beberapa lagi percubaan menjajarkan kerjasama untuk menjatuhkan PN dan kembalikan mandat rakyat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Kesan keputusan mahkamah kepada UMNO

Sementara itu, Dr Mazlan berkata, keputusan mahkamah hari ini juga akan memberi kesan kepada UMNO, di mana Dr Mahathir dan PH boleh mendakwa, bahawa tuduhan mereka terhadap Najib dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selama ini terbukti benar.

“Walaupun mereka bukan lagi pemerintah, tetapi perbicaraan berjalan secara telus dan adil. Jadi PH mungkin akan jadikan kes Najib dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang,” katanya.

Bukan hanya itu, Dr Mazlan berkata, keputusan mahkamah ini juga dijangka memberi kesan kepada hubungan UMNO-PAS dalam Muafakat Nasional (MN).

“Ini kerana selama ini, PAS selalu gunakan alasan Najib belum terbukti bersalah, justeru PAS bekerjasama dengan UMNO.

“Hari ini netizen dan orang ramai mungkin akan mempersoalkan semula perkara ini,” katanya.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-