Monday, July 6, 2020

PRU mengejut? ‘Wow’

B Nantha Kumar
Hamzah Zainuddin
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin hari ini berkata beliau tidak tahu menahu berhubung kemungkinan pilihan raya mengejut akan diadakan pada bila-bila masa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkaitan kesediaan PN mengadakannya semalam.

"Saya tidak tahu (mengenai pilihan raya mengejut).

“Saya cuma menteri yang biasa yang hanya menjaga rakyat menjaga sekuriti keselamatan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan kapal peronda kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini di Pelabuhan Klang.

Azmin yang semalam memberitahu PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah cukup kriteria untuk mengadakan pilihan raya mengejut.
Mohamed Azmin Ali 
Azmin berkata ini kerana kerajaan telah berjaya menangani krisis kesihatan awam, politik dan ekonomi.

PRU boleh diadakan pada tahun ini atau tahun depan, kata Azmin lagi ketika acara makan malam di Johor Bahru semalam, seperti dipetik Sin Chew Daily.

Bagaimanapun, Hamzah yang setiausaha agung Bersatu berkata bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung pilihan raya mengejut.

Malah, beliau secara berseloroh meminta pemberita membangkitkan perkara itu kepada menteri berkenaan.

"Kenapa kamu tidak tanya soalan ini kepada menteri yang membangkitkan isu ini? Apa dia kata?" tanya Hamzah.

Namun, selepas pemberita menjelaskan bahawa menteri itu telah pun menjawab berkata pilihan raya mengejut akan diadakan secepat mungkin, Hamzah teruja dengan berkata "wow".

"Wow, saya tidak tahu kerana saya bukan menteri kanan. Mungkin ini (bila pilihan raya mengejut diadakan) antara menteri kanan di peringkat perdana menteri sahaja," katanya.

Tambah beliau pilihan raya mengejut bukan agenda utamanya.

"Pilihan raya diadakan pada masa terdekat atau masa yang panjang itu tidak menjadi agenda utama saya.

"Agenda utama saya adalah supaya rakyat yakin dengan kepimpinan yang amat berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan kerajaan perikatan nasional yang benar-benar mempunyai gabungan agak lebih teguh kerajaan sebelum ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-