Tuesday, July 28, 2020

Tiba masa bina semula Umno, Khairy harap parti tak diheret dalam kes Najib

FMT Reporters
-July 28, 2020 8:01 PM

Khairy Jamaluddin berkata, sabitan bersalah ke atas Najib Razak akan memberi kesan besar kepada Umno.

PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa parti itu melakukan proses rejuvenasi, susulan sabitan bersalah ke atas bekas presidennya, Najib Razak atas 7 pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Menteri sains, teknologi dan inovasi itu berharap Umno tidak diheret sekali dalam kes membabitkan Najib yang dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.

“Walaupun beliau masih ada ruang merayu, ini adalah suatu keputusan yang memberi kesan besar kepada Umno. Saya yakin ahli-ahli Umno akan terus setia kepada parti melebihi kesetiaan kita kepada mana-mana individu di dalam parti.

“Tibalah masa untuk kita bina semula parti keramat Umno ini dan untuk kita melihat suatu peralihan generasi kepimpinan yang bakal membawa parti ke era baru,” tulisnya di blognya hari ini.

Najib didakwa dengan 3 pertuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan 3 dakwaan pengubahan wang, selepas kerajaan Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum 2018.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan penyalahgunaan kuasa atau tambahan 5 tahun penjara.

Bekas perdana menteri berusia 67 tahun itu turut dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap satu daripada 3 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang.

Hakim mengarahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak yang bermakna Najib hanya perlu dipenjarakan selama 12 tahun. Tiada denda dikenakan atas pertuduhan pengubahan wang.

Najib ialah bekas perdana menteri pertama yang dibicarakan dan disabit bersalah atas pertuduhan jenayah susulan tindakannya ketika memegang jawatan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-