Thursday, July 2, 2020

Tok Mat tak setuju PN guna lambang baru pada PRU15

FMT Reporters
-July 2, 2020 12:05 AM

Mohamad Hasan menggesa PRU15 diadakan dalam masa terdekat kerana kelemahan dan kecelaruan parti lawan ketika ini akan membolehkan mereka mendapat mandat rakyat dengan selesa.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan tidak bersetuju Perikatan Nasional (PN) bertanding sebagai gabungan tunggal yang menggunakan lambang baru pada pilihan raya umum ke-15 kerana ia perlu memberi penjelasan kepada rakyat.

Katanya, parti yang menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak mempunyai masa mencukupi untuk menjelaskan kepada rakyat, jika ia menggunakan lambang asing pada PRU akan datang.

“Cara mana hendak persembahkan kepada parti, sama ada hendak buat di peringkat Muafakat Nasional saja di Semenanjung atau PN didaftarkan secara beramai-ramai, tetapi pandangan saya perundingan dan keputusan mesti berasaskan kepentingan parti.

“Saya kurang setuju, hal ini kerana Umno parti yang besar, lama. Kita mesti jaga kepentingan parti elok-elok, buat rundingan yang betul. Apakah kita mempunyai masa untuk buat lambang baru dalam tempoh 5 bulan ini, apakah gambarnya?

“Jangan susahkan diri, nak perangkap diri, buat sesuatu yang boleh diterima semua pihak. Saya tidak tahulah apa simbol baru, bayangkan gambar pokok pisang, orang akan kata gila ke? Lima bulan hendak pergi seluruh negara, ini satu perkara yang perlu lihat betul-betul,” katanya dalam wawancara disiarkan Umno Online malam ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, lebih baik PN menjadi gabungan longgar, namun parti atau gabungan parti sedia ada digilap dan dijenamakan semula.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu turut menggesa PRU15 diadakan dalam masa terdekat disebabkan kelemahan dan kecelaruan parti lawan ketika ini akan membolehkan mereka mendapat mandat rakyat dengan selesa.

“PN merupakan kerajaan mempunyai majoriti tipis, kerajaan sebegini susah untuk bentangkan dasar di Parlimen kerana akan sentiasa dalam ugutan.

“Jadi, macam mana kerajaan hendak berfungsi? Sebagai parti yang mewakili kerajaan, saya katakan Muhyiddin tidak ada banyak pilihan.”

Beliau tidak menafikan populariti Muhyiddin yang diterima baik rakyat ketika ini, tetapi popularitinya itu tidak akan kekal lama seperti yang dialami kerajaan Pakatan Harapan terdahulu.

“Pemerhatian saya, orang tengah kelam-kabut inilah masanya, jangan tunggu bila musuh sudah kuat.

“Masa musuh tengah lemah inilah masanya kita ambil kesempatan. Apabila mereka sudah kuat, akan jadi masalah buat kita.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-