Monday, July 6, 2020

Zahid arah Umno, BN pertahan kerajaan Muhyiddin

FMT Reporters
-July 6, 2020 4:36 PM

Zahid Hamidi.

PETALING JAYA: Presiden Umno, Zahid Hamidi mengarahkan partinya mempertahankan kerajaan pimpinan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin daripada terus diganggu-gugat pembangkang.

“Umno sedar terdapat usaha giat dilakukan untuk menggugat kedudukan perdana menteri oleh pihak yang mahu merebut jawatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arahan sama turut dikeluarkan kepada Barisan Nasional (BN) dan beliau meminta menteri dan timbalan menteri daripada gabungan itu berusaha memulihkan kembali ekonomi negara.

“Fokus Umno ketika ini untuk memastikan isu berkaitan kebajikan dan kepentingan rakyat yang semakin tertekan dalam menghadapi bebanan hidup pasca Covid-19.

“Semua menteri dan timbalan menteri BN diminta mengambil tindakan menerusi kementerian masing-masing dalam usaha memulihkan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan terutamanya golongan yang terkesan Covid-19,” katanya.

Pada masa sama, Zahid turut meminta supaya pemimpin Umno tidak terheret dalam polemik perbahasan mengenai calon perdana menteri.

“Tumpuan harus diberikan kepada usaha untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Zahid merupakan pengerusi BN, yang bersama PPBM, PAS, Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah, dan Parti Solidariti Tanah Airku membentuk Perikatan Nasional, yang menjadi kerajaan selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Perkembangan ini menyusuli penyataan sokongan pemimpin tinggi setiap parti terhadap pentadbiran Muhyiddin, selepas mesyuarat 2 jam yang dihadiri Zahid, Wee Ka Siong (MCA), dan S Vigneswaran (MIC); Hadi Awang (PAS), dan Hamzah Zainudin (PPBM) selaku setiausaha agung partinya.

Pada Mei, Speaker Dewan Rakyat, Ariff Yusof menerima usul Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Dewan Rakyat akan bersidang minggu depan, bermula 13 Julai.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-