Saturday, August 15, 2020

BN dicabar 2 calon bebas di PRK Slim

Mohamad Fadli
-August 15, 2020 10:53 AM
Zaidi Aziz (dari kiri), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santharasekaran Subramaniam akan berentap pada PRK Slim pada 29 Ogos ini.

TANJUNG MALIM: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini akan menyaksikan pertembungan 3 penjuru antara Barisan Nasional dan 2 calon bebas, termasuk seorang wakil kumpulan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Pegawai Pengurus PRK Slim, Shamsul Ridzuan Idris mengumumkan Mohd Zaidi Aziz mewakili BN dan 2 calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi serta Santharasekaran Subramaniam.

“SPR menerima 3 borang pencalonan. Saya telah semak kertas penamaan tersebut, saya berpuas hati dan tiada kertas pencalonan ditolak,” katanya di pusat penamaan calon di Majlis Daerah Tanjung Malim hari ini.

Zaidi, 43, ialah pemangku ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, manakala Amir Khusyairi ialah peguam yang mewakili kem Mahathir.

Atas semangat Muafakat Nasional, Ketua PAS Tanjung Malim, Mohd Tarmizi Ab Rahman menjadi pencadang Zaidi.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang juga ketua PPBM Perak, parti sekutu dalam Perikatan Nasional akan mengerakkan jentera parti masing-masing untuk berkempen bagi calon BN.

“Kami percaya dengan kerjasama erat parti-parti yang ada ini, rakyat akan beri sokongan pada Zaidi.

“Saya yakin rakyat akan pilih untuk tidak berpolitik dan fokus isu tangani wabak Covid-19.”

Beliau juga berharap semua calon dan pihak yang terbabit dalam kempen PRK Slim tidak mengamalkan politik cacat cela.

PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandang, Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Khusairi mempertahankan kerusi itu pada 2018 selepas mengalahkan calon PPBM, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal dengan majoriti 2,183 undi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-