Tuesday, August 4, 2020

Covid-19: Kerana tauke nasi kandar ingkar, 3,000 penduduk Pekan Napoh perlu jalani saringan


Oleh FAZLI RADZI

Kerana keingkaran pengusaha kedai nasi kandar di Napoh di Jitra mematuhi perintah kuarantin, seramai 3,000 penduduk di kawasan itu serta kontak rapat kluster PUI Sivagangga dijangka melakukan saringan Covid-19.

Setakat ini lebih 700 individu sudah menjalani disaring itu di Klinik Kesihatan Napoh, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman hari ini.

Menurutnya, daripada saringan dilakukan itu, 20 disahkan positif Covid-19 manakala yang lain negatif termasuk masih ada yang menanti keputusan.

Beliau ketika ditemui sewaktu melakukan tinjauan proses saringan di Klinik Kesihatan Napoh dilapor berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menyasarkan saringan 300 orang sehari.

“Bagi melancarkan proses itu, kita memohon bantuan Klinik Kesihatan daerah lain iaitu dari Pendang, Yan dan Kuala Muda.

“Ketika ini, 10 pasukan disediakan untuk membantu mengendalikan tugas saringan, manakala untuk Padang Sanai, Padang Terap saya akan dapatkan maklumat lanjut selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur memberitahu enam sekatan jalan raya (SJR) dilakukan di daerah tersebut membabitkan lima di Changlun dan satu di Kodiang.

SJR melibatkan kawalan seramai 96 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, jelasnya, selaras arahan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

“Mungkin kita akan mohon bantuan daripada agensi lain. Semua anggota ini akan bertugas 24 jam bagi mengawal laluan masuk dan keluar kawasan berkenaan,” kata Chunng Tsaur.

Sebelum ini, kerajaan menggesa orang ramai yang makan kedai itu antara 13 hingga 24 Julai lalu menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di empat mukim di negeri Kedah bermula hari ini hingga 30 Ogos.

Empat kawasan terbabit ialah Restoran Nasi Kandar Salleh di pekan Napoh, Kampung Pida Satu di Megat Dewa, Kampung Bendang Dalam Mukim Binjal di Kubang Pasu dan Kampung Ulu Sanai di Padang Terap yang kesemuanya terletak dalam radius satu kilometer dari restoran itu.
Restoran Nasi Kandar Salleh di Pekan Napoh juga dikatakan menjadi tumpuan pemandu lori.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-