Monday, August 10, 2020

Guan Eng didakwa lagi di mahkamah hari ini

Afiezy Azaman, Astro Awani
Ogos 10, 2020 06:35

Guan Eng akan dituduh di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada pukul 10 pagi bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. -Gambar fail

GEORGE TOWN: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan didakwa di mahkamah berhubung kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang hari ini.

Guan Eng akan dituduh di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada pukul 10 pagi bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Setiausaha Agung DAP itu juga bakal dihadapkan ke mahkamah yang sama bagi kes yang berlainan dan akan dituduh di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, pada Selasa.

Khamis lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan media menyatakan Guan Eng didakwa atas tiga pertuduhan.

Dua daripadanya melibatkan kes terowong dasar laut dan satu kes berlainan.

Pada pertuduhan pertama Jumaat lepas, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(a) Akta SPRM 2009 kerana meminta suapan membabitkan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Guan Eng bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Beliau dibenarkan diikat jamin RM1 juta.

Guan Eng ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, Pengarah Kanan Eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd yang mendapat projek itu.

Guan Eng hadir ke ibu pejabat SPRM sebanyak tiga kali bagi memberi keterangan berhubung kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Beliau ditahan pada Khamis malam.

Beberapa saksi termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan exco negeri juga telah dipanggil SPRM untuk membantu siasatan.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai adalah termasuk di bawah pelan induk pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Dalam pada itu, isteri Guan Eng, Betty Chew yang ditahan SPRM pada Jumaat turut berdepan pendakwaan minggu ini.

Betty akan didakwa pada Selasa pagi di Mahkamah Butterworth berhubung penglibatannya dengan syarikat swasta Excel Property Management and Consultancy Sdn Bhd.

Siasatan dijalankan berkaitan perunding perundangan yang ditawarkan Betty kepada syarikat itu.

Kes disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-