Friday, August 7, 2020

Kes Lim Guan Eng: Kalau BN yang kena, DAP cepat bersorak

@news
-August 7, 2020


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan menempelak DAP yang belum pun apa-apa pendakwaan dibuat terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng itu, namun laman media sosial parti terbabit menyebut bahawa pendakwaan politik oleh Perikatan Nasional telah bermula.

Menurut beliau, kalau BN yang kena, laju bersorak dan ringan mulut terus hukum ‘bersalah’.

“Bila parti dia, belum dengar dakwaan, belum bicara, senang-senang cakap tiada bukti. Senang‐senang tuduh pendakwaan politik.

“Nak solidariti, silakan. Tiada siapa halang. Tetapi sepertimana BN menghormati institusi kehakiman, begitulah juga sewajarnya DAP dan Pakatan Harapan. Jika benar anda tidak bersalah, tegakkannya di mahkamah,” tegas beliau dalam kenyataan pendek menerusi laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu, laman Facebook Dap memuatnaik gambar Lim Guan Eng bersama kenyataan ‘SPRM telah menahan Lim Guan Eng. Tiada sebarang bukti kesalahan dapat dikemukakan. Pendakwaan politik oleh Perikatan Nasional ternyata telah bermula. Solidariti Bersama Lim Guan Eng.’

Dilaporkan, semalam bekas Menteri Kewangan itu ditahan SPRM kira-kira 9.30 malam.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan Guan Eng akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 9 pagi ini mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Menurut kenyataan itu, Guan Eng juga akan didakwa pada 10 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua pertuduhan di mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang itu bersangkutan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, kata SPRM.

SPRM turut mendapat izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa Guan Eng bagi kes berlainan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-