Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Sunday, August 9, 2020

Parti baru Dr M akan gagal jadi kuasa penentu, kata penganalisis

Mohamad Fadli
-August 9, 2020 7:03 AM
Penganalisis berkata, parti baru bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sukar mendapat sokongan kerana orang Melayu lebih selesa dengan Umno dan PAS.

PETALING JAYA: Penganalisis politik berkata, parti baru yang akan ditubuhkan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja akan gagal menjadi kuasa penentu, malah akan terus hilang dari radar politik Malaysia pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, tanpa berpakat dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) parti baru itu dijangka bukan sahaja gagal merebut kerusi baru, malah turut gagal mengekalkan 6 kerusinya yang sedia ada.

“Kerusi itu adalah Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Muar, Sri Gading dan Simpang Renggam,” katanya kepada FMT.
Kamarul Zaman Yusoff
Kelmarin Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru selepas keahlian beliau dalam PPBM yang diterajuinya sebelum ini terbatal.

Beliau bersama beberapa lagi yang turut terbatal keahlian mereka menubuhkan parti yang belum dinamakan dan masih menunggu proses permohonan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Bekas pengerusi PPBM itu berkata, asas penubuhan parti tersebut adalah dengan mengambil “DNA” asal PPBM yang kini lari daripada perjuangannya di bawah kepimpinan Muhyiddin.

Dalam pada itu Kamarul berkata, isu rasuah yang cuba dijuarai oleh parti berkenaan tidak lagi menjadi isu besar apabila beberapa pemimpin sudah didakwa di mahkamah.

Katanya, kenyataan Mahathir bahawa parti itu tidak memerlukan ahli yang ramai sebaliknya yang komited juga tidak memungkinkan kejayaannya.

“Ini kerana ia bercanggah dengan prinsip asas demokrasi yang meletakkan suara teramai sebagai penentu pemerintahan.

“Pengoperasian parti baru memerlukan masa, tenaga dan kos yang banyak kerana ia perlu ahli serta menubuhkan organisasi di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat yang bukan kerja senang,” katanya.

Kamarul berkata, Mahathir hanya akan membuang masa, tenaga dan kos untuk menubuhkan parti sedangkan beliau sepatutnya boleh mengatasi semua masalah dengan mudah dengan cara menyertai mana-mana parti politik yang sudah stabil di negara ini.

“Lebih memburukkan keadaan, penamaan Mahathir sebagai pengerusi dan anaknya Mukhriz sebagai presiden parti baru itu yang memberi gambaran ia sebuah parti bercorak kekeluargaan dan kenegerian (Kedah),” katanya.
Awang Azman Awang Pawi
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, kesan penubuhan parti baru akan menambah jumlah parti berteraskan orang Melayu sedangkan Mahathir pernah menyatakan terlalu banyak parti menyebabkan orang Melayu berpecah.

Katanya, parti baru itu terpaksa bersaing dengan PPBM, Umno, PAS dan Amanah.

“Umno dan PAS lebih banyak akar umbi dan pengundi Melayu. Sudah tentu parti baru akan mengambil masa untuk berkembang dan diterima rakyat, khususnya orang Melayu,” katanya.

Dalam pada itu Awang berkata, parti baru Mahathir hanya mempunyai sedikit kelebihan jika ia bekerjasama dengan PH.

Katanya, jika tidak, parti itu akan tenggelam di tengah-tengah kewujudan pelbagai parti berteraskan Melayu.

“Kepelbagaian parti patut diraikan dalam demokrasi, namun ia kurang memberi kesan jika pilihan raya mengejut diadakan pada bila-bila masa.

“Untuk jadi kuasa baru ia akan menemui jalan sukar kerana orang Melayu lebih selesa dengan PAS, Umno dan sedikit Amanah,” katanya.

Beliau berkata, ada juga orang Melayu yang lebih selesa untuk menyertai PKR dan DAP kerana berdasarkan realiti semasa rakyat yang berteraskan masyarakat majmuk.

“Parti baru Mahathir lebih bersifat personaliti. Mahathir masih mahu menjadi calon perdana menteri walaupun PKR tolak apabila dilihat beliau kurang bersungguh untuk serah kuasa kepada Anwar.

“Dalam keadaan terlalu banyak parti untuk disertai oleh orang Melayu, sukar parti baru untuk bertahan kecuali Mahathir mampu tarik golongan muda dan orang Melayu di desa dan kota untuk dukung parti tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-