Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Tuesday, August 11, 2020

Pecah amanah RM31 juta: Zahid kekal mengaku tak salah

Oleh FAZLI RADZI
August 10, 2020


Pasukan pendakwaan membuat permohonan untuk melakukan pindaan ke atas beberapa pertuduhan pecah amanah (CBT) dan rasuah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Pindaan terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu membabitkan 12 pertuduhan CBT – membabitkan frasa “diamanahkan dengan harta” yang dipinda menjadi “diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta”- serta dua pertuduhan rasuah – membabitkan pemotongan perkataan “penambahan” daripada frasa “perolehan penambahan pembekalan cip pasport” dalam pertuduhan berkenaan.

Dengan pindaan terbaru tuduhan CBT, Zahid sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta yayasan berkenaan, didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM31 juta milik yayasan itu.

Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 tuduhan CBT melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram. Seramai 85 saksi telah dipanggil bagi memberikan keterangan setakat ini.

Permohonan melakukan pindaan itu dibuat Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah , dalam perbicaraan membabitkan Zahid yang masuk hari ke-31 hari ini.

Permohonan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan dibaca bersama seksyen 376 (1) Akta Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut Raja Rozela, perkataan “diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta” sebenarnya telah digunakan dalam pertuduhan di mahkamah rendah dan ditanda, namun “terpadam tanpa disengajakan” ketika pasukan pendakwaan menyusun semula pertuduhan dari mahkamah sesyen.

“Perkataan yang hilang itu tak diperasan sehingga baru-baru ini ketika kami membuat persiapan untuk merumuskan (wrap up) kes kami.

“Sebab pindaan ini adalah kerana pertuduhan yang sekarang ini mencadangkan harta yang menjadi persoalan (seolah-olah) menjadi hak milik tertuduh, tapi itu tidak menggambarkan pendirian sebenar kes pendakwaan,” katanya.

Susulan pindaan terbaru tuduhan rasuah pula, Zahid dituduh menerima rasuah daripada pengarah Data Sonic Group Berhad, sebagai upah bagi dirinya sebagai penjawat awam iaitu Menteri Dalam Negeri ketika itu, dan oleh sebab itu, syarikat itu dilantik bagi melaksanakan perolehan pembekalan cip pasport untuk tempoh lima tahun.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-