Saturday, August 15, 2020

Pemuda PPBM kena ‘boo’ berulang kali pada majlis Pemuda BN

Mohamad Fadli
-August 15, 2020 2:40 PM
Ketua Pemuda BN, Asyraf Wajdi Dusuki memperkenalkan barisan pemuda parti pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN sempena PRK Slim yang turut disertai oleh Pemuda PAS dan PPBM hari ini.

TANJUNG MALIM: Pemuda PPBM di ‘boo’ berulang kali pada majlis pelancaran jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) di sini, hari ini.

Situasi itu berlaku ketika ketua Pemuda BN, Asyraf Wajdi Dusuki memperkenalkan barisan pemuda parti yang hadir dalam majlis itu yang turut disertai oleh Pemuda PAS dan PPBM.

Barisan Pemuda PPBM yang hadir juga disorak sekali lagi ketika pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi menyebut nama Pemuda PPBM pada majlis itu.

Ketika ditanya mengenai itu Zahid berkata, beliau bersangka baik dan berharap perkongsian politik dalam Muafakat Nasional (MN) bersifat jujur dan ikhlas.

Beliau berkata, sebarang perkara yang tidak dipersetujui mestilah diketepikan.

“Keikhlasan diterjemahkan dalam semua bentuk kerjasama. Saya yakin jika kerjasama diterjemahkan dengan keikhlasan dan kejujuran, tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

“Apabila bersetuju bersama, mesti setuju sepenuhnya. Jangan ada agenda di belakang.

“Saya harap tak ada agenda masing-masing,” katanya pada majlis yang berlangsung di Felda Residence, Trolak.

Sementara itu, ketua Pemuda PPBM Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, beliau tidak mengambil hati terhadap perbuatan segelintir anggota Pemuda BN itu.
Ketua Pemuda PPBM Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh

“Tak mengapa saya faham, kita orang muda. Kami berlapang dada dan hulurkan tangan yang penuh keikhlasan untuk membantu,” katanya.

Hafez juga berkata, pihaknya akan beri komitmen menerima mana-mana calon MN dalam PRK itu.

“Kami juga akan beri sokongan tanpa belah bagi. Kami akan gerakkan jentera untuk pastikan kemenangan calon BN,” katanya.

PRK Slim pada 29 Ogos depan menyaksikan calon BN Mohd Zaidi Aziz berdepan saingan 2 calon Bebas, iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi serta Santharasekaran Subramaniam.

Ia diadakan berikutan kematian penyandang, Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lepas.

Khusairi mempertahankan kerusi itu pada 2018 selepas mengalahkan calon PPBM, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal dengan majoriti 2,183 undi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-