Sunday, August 9, 2020

Rakyat tolak parti yang ada agenda peribadi



August 9, 2020

KUALA LUMPUR – Rakyat menolak parti yang mempunyai agenda peribadi terutama jika berkaitan dengan DAP.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, semua pihak bebas menubuhkan parti baharu namun impaknya akan dinilai oleh rakyat.

“Sekiranya ia dilihat membawa agenda nepotisma, kronisma dan peribadi ia pasti ditolak.

“Lebih parah lagi kiranya ia bersekongkol dengan DAP, pastinya akan ditalkinkan awal, ” tulisnya di Twitter hari ini.

Jumaat lalu, bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan menubuhkan parti baharu yang berasaskan kepada perjuangan Melayu.

Dr Mahathir pada sidang media yang memaklumkan perkara itu turut menegaskan parti baharu yang belum diberikan nama itu berbeza dengan parti Melayu dan Pribumi lain kerana perjuangannya bagi menghapus kleptokrasi dan rasuah.

Dalam pada itu Annuar berkata, penubuhan parti baharu yang muncul kebelakangan ini juga menandakan Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir.

“Banyak parti politik terbentuk untuk membela dan mempertahankan legasi dan ego individu.. Tidak kurang juga untuk menjaga dinasti dan keluarga, rakyat cuma menjadi pelapik alasan,” tulisnya.

Mei lalu, Dr Mahathir bersama empat yang lain digugurkan keahlian daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mereka ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-