Monday, August 3, 2020

Saksi: Bekas menteri pendidikan minta 'habuan' RM60 juta dari Jepak

Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan Hari ini 6:57 pm

KES ROSMAH | Bekas rakan perniagaan Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak) Rayyan Radzwill Abdullah mendakwa Mahdzir Khalid ketika menjadi menteri pendidikan mahu mendapatkan "habuan" RM60 juta daripada syarikat itu atas kelulusan projek solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Keterangan Radzwill, yang merupakan saksi pendakwaan ke-16, bertentangan dengan penafian Mahdzir ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah terhadap isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor sebelum ini.

Pada 11 Februari lalu, Mahdzir ketika pemeriksaan balas menafikan memberi lampu hijau kepada projek itu sebagai pertukaran kepada pembayaran RM1 juta setiap bulan selama lima tahun.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Rayyan mendakwa Mahdzir pada mulanya mahu mendapatkan "habuan" daripada Jepak sebanyak 20 peratus daripada keseluruhan projek.

Menurutnya, Mahdzir berbuat demikan melalui individu bernama Md Fuad Yassin yang didakwa menjadi proksinya.

Pada 5 November 2108, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan mencari Fuad untuk membantu siasatan bagi kes melibatkan pembekalan diesel dan pemasangan panel solar di 369 sekolah di Sarawak.

Akberdin: Disebabkan peranannya (Mahdzir) dalam projek ini, dia meminta 20 peratus daripada Jepak sebagai pertimbangan atau habuan atas bantuannya?

Rayyan: Ya, melalui kawannya Fuad Yassin.

Akberdin: Proksi dia, bukan?

Rayyan: Kawannya.

Akberdin: Encik Md Fuad Yassin.

Rayyan: Ya.

Akberdin: Memandangkan kuantum 20 peratus terlalu besar, dan (pengarah urusan Jepak) Saidi (Abang Samsudin) berkata (jumlah itu) tak boleh diterima, apabila perbincangan lanjut, 20 peratus itu dikurangkan kepada RM60 juta bagi tempoh lima tahun, atau RM1 juta sebulan?

Rayyan: Benar.

Saksi itu juga setuju dengan kenyataan Akberdin bahawa berdasarkan laporan media, Md Fuad telah menghilangkan diri dan masih diburu SPRM untuk membantu siasatan kes tersebut.

Menurutnya lagi, dia menyediakan perjanjian bertulis untuk bayaran RM60 juta sekitar April 2016 dan mendakwa perjanjian itu melibatkan Saidi dan Md Fuad.

Akberdin: Adakah SPRM siasat anda dan Saidi berhubung (dakwaan) wang yang diminta Mahdzir?

Rayyan: Ya.

Akberdin: SPRM rekod kenyataan anda dan Saidi?

Rayyan: Tak pasti sama ada mereka rakam kenyataan (atau tidak), tetapi mereka hubungi (saya dan Saidi) untuk soal siasat beberapa kali.

Ketika ditanya sama ada Saidi memberikan RM40,000 kepada Mahdzir untuk bayaran penginapan di hotel di Kuala Lumpur untuk delegasi Umno Kedah, Rayyan mendakwa jumlah sebenar sekitar RM50,000.

Dia mendakwa bayaran dibuat dalam tempoh projek hibrid solar yang sedang berjalan ketika itu.

Dia juga setuju dengan kenyataan peguam bahawa ada laporan media ketika itu berkenaan Mahdzir mungkin didakwa di mahkamah berkaitan projek itu.

Ketika perbicaraan hari ini, Rayyan juga dengan penuh emosi berkata dia tidak setuju dengan apa yang didakwa sebagai korupsi seputar projek itu dan malah membuat laporan polis berkenaannya.

Dia mendakwa tidak setuju dengan apa yang berlaku memandangkan dia sendiri datang daripada keluarga miskin dengan kehidupan kanak-kanak di rumah setinggan.

Dengan suara tersekat-sekat, Rayyan mendakwa dia dan Saidi kemudian berselisih ekoran isu itu, terutama berhubung dakwaan persetujuan lisan antara mereka yang Rayyan akan mendapat RM10 juta selaku perunding projek.

"Semua kerja teknikal termasuk pembentangan, dibuat oleh saya. Sejak awal, saya tak setuju dengan tawaran dibuat kepada ahli politik tetapi Saidi (didakwa) berkata memang begitulah caranya (this is how things are done).

"Saya datang dari (latar belakang) setinggan, ada kala tiada bekalan elektrik.

"Berbanding beri (wang) kepada ahli politik, lebih baik beri kepada (penduduk) kawasan," katanya dari kandang saksi.

Perbicaraan di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan akan bersambung esok.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta suapan RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi sebagai habuan atas bantuan mendapatkan kontrak bernilai RM1.25 bilion kepada Jepak menerusi rundingan terus.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-