Friday, August 14, 2020

Tubuh RCI siasat dakwaan penyelewengan TH

MyMetro
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

MUJAHID dan Abdul Azeez berhujah pada program Bicara Semuka.
FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

PENUBUHAN Suruhanjaya Diraja (RCI) adalah langkah terbaik dicadangkan bagi menentukan isu termasuk kontroversi penyelewengan dalam Tabung Haji (TH) dibangkitkan selama ini.

Dalam program Bicara Semuka anjuran Sinar Harian hari ini, bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof tidak menolak ia adalah jalan terbaik untuk merungkai kebenaran.

Dalam program yang dikendalikan Tan Sri Johan Jaaffar itu, Mujahid mempersoalkan mengenai urus tadbir TH yang dikatakan beroperasi dalam keadaan sakit dan digunakan secara salah ketika pada era pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Abdul Azeez di dalam jawapannya memaklumkan ketika itu TH mempunyai dana sebanyak RM73.5 bilion berbanding ketika mula mengambil alih pada 2013 iaitu pada kira-kira RM40 bilion.

Katanya, dengan 9.3 juta pendeposit, TH konsisten menguruskan jemaah haji, membayar hibah dan menjalankan aktiviti perniagaan yang boleh berikan keuntungan.

"Kita nak selamatkan TH. Sebenarnya tak perlu kerana saya bukan Pengerusi Eksekutif. Kerana kami punyai fakta kami bayar hibah 7.15 peratus, Pakatan Harapan (PH) bayar 1.25 peratus," katanya.

Sementara Mujahid meminta isu TH ini tidak dipolitikkan dengan kerajaan memberi jaminan untuk menjaga kepentingan TH bagi memberi manfaat kepada pendeposit.

"Bagi hibah tinggi, tapi kalau tak boleh kekal lestari, liabiliti lebih daripada aset, kita tak boleh keluar hibah pada masa depan.

"Hari ini kita ada aset lebih RM45 bilion dan itu bukti pelan penstrukturan semula berjaya. Memang kami bagi hibah 1.25 peratus, kalau ini berterusan kita boleh bagi tinggi," katanya.

Mujahid berkata, apa yang menjadi kerisauan pihaknya sedikit masa lalu ialah kedudukan kewangan yang tidak sihat menyebabkan mereka mengambil tindakan pemulihan berjumlah RM20 bilion.

Kedua-dua panelis turut bersetuju supaya RCI menyiasat semua dakwaan di dalam isu penyelewengan TH yang menjadi topik hangat sebelum ini.

"Kita guna RCI untuk beritahu PH betul ke UMNO yang betul, biar rakyat tahu. Kita serahkan kepada kerajaan kerana kerajaan tahu apa yang berlaku," kata Ahli Parlimen Baling itu.

Mujahid juga meminta kerajaan mengeluarkan laporan kewangan TH yang sudah siap diaudit untuk menunjukkan kesan penstrukturan yang dibuat kerajaan sebelum ini.

"Ada yang akan tanya laporan 2018, kenapa kena lapor pada 2020, kena ingat, pada tahun itu kita ada pemulihan.

"Perlu masa untuk audit dan menteri sudah pun maklumkan sudah ada pada kerajaan. Untuk 2019, audit belum selesai. Sekarang sudah ada, bentangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 10:38 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-