Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Tuesday, August 4, 2020

Umno belum tarik balik saman terhadap 7 ahli Parlimen PPBM

V Anbalagan
-August 4, 2020 11:56 AM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata saman akan ditarik kerana parti itu dan PPBM kini sebahagian daripada Perikatan Nasional.

KUALA LUMPUR: Umno masih belum menarik balik saman mereka terhadap sekurang-kurangnya 7 ahli Parlimen yang menyertai PPBM tahun lalu, kata peguam Ashok Kandiah.

“Plaintif (Umno) hanya mahu menarik balik tindakan mereka tetapi dengan kebebasan untuk memfailkannya semula,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ashok mewakili Mustapa Mohamed (Jeli), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Hamzah Zainudin (Larut), Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Shahbudin Yahaya (Tasek Gelugor)

Beliau berkata, Umno mesti mengetepikan saman itu sekali dan untuk semua dan, dengan tambahan menarik balik tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula.

“Inilah masanya bagi Mahkamah Tinggi memutuskan sama ada kes itu boleh ditarik dengan atau tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula,” katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu akan memutuskan tindakan parti itu terhadap Rosol dalam pendengaran kes pada 24 Ogos ini .

Pada 14 Julai lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberitahu FMT beliau mengarahkan peguamnya untuk menggugurkan saman itu kerana kedua-dua parti berkenaan kini bersama dalam Perikatan Nasional (PN).

“Kami sekarang menjadi rakan politik,” katanya.

Tahun lalu Zahid berkata, saman itu dibuat demi kepentingan parti.

Tindakan atas alasan pecah amanah itu dibuat terhadap 7 ahli Parlimen terbabit dan Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) serta Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah). Azmi dan Mas Ermieyati diwakili peguam lain di Melaka.

Umno meminta ganti rugi sebanyak RM200,000 setiap seorang.

Tiga belas ahli Parlimen, termasuk 4 dari Sabah, menyertai PPBM ketika ia sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pada 1 Mac lalu, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin menarik diri daripada PH dan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas mendapat sokongan PPBM, Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa ahli Parlimen termasuk bekas pemimpin PKR.

Susulan itu, Mustapa kembali ke Kabinet sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi), manakala Hamzah menteri dalam negeri dan Latiff menteri pembangunan luar bandar.

Sementara itu, Ikmal adalah timbalan menteri pertahanan, Noor Azmi timbalan menteri kesihatan, Rosol timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, Mas Ermieyati pula timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi dan Shahbudin sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Perbicaraan bagi 9 kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi di seluruh negara itu masih belum bermula kerana bantahan awal dikemukakan oleh parti terbabit.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-