Saturday, August 1, 2020

UMNO tak bincang dengan PAS tolak sertai PN

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan ketika ditemui selepas majlis pengagihan daging korban di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas. 
- NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Muafakat Nasional (MN) tidak mengadakan sebarang perbincangan sebelum UMNO mengumumkan keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, sebaliknya berkata, beliau enggan mengulas sama ada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu bersifat peribadi atau organisasi.

"Kita pun tidak pasti berhubung perkara itu (kenyataan Ahmad Zahidi), UMNO kata nak bincang dengan PAS dan saya difahamkan minggu depan baru kita akan mengadakan perbincangan.

"Perkara ini mesti kena bincang. Kita tidak mempunyai sebarang masalah kerana sering mengadakan perbincangan menerusi Muafakat Nasional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengagihan daging korban di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), menegaskan PAS menyokong sepenuhnya kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pada masa sama, katanya, PAS akan terus memperkasakan MN kerana sudah ada perjanjian dan parti itu selaku parti Islam akan berpegang kepada janji.

"Menjadi tanggungjawab kita memperkukuh dan mempertahankan kerajaan sedia ada," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, UMNO membuat keputusan tidak menyertai PN, sebaliknya akan memperkasakan MN bersama PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

Pendirian terbaharu itu diumumkan Ahmad Zahid yang berkata, sokongan kepada kerajaan PN ketika ini, hanya berlandaskan sokongan Ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-