Wednesday, September 30, 2020

Lepas berkuasa agenda perjuangan Melayu UMNO-PAS hilang

Athirah Huda Zalhe
ismaweb.net
Tindakan Ahli Parlimen UMNO sokong Anwar langkah kotor jatuhkan kerajaan


BANGI, 11 Safar 1442H, Selasa – Slogan UMNO-PAS yang kononnya memperjuangkan Melayu dan Islam hilang selepas mendapat kuasa menjadi kerajaan.

Lebih menyedihkan lagi, bukan hanya agenda orang Melayu hilang, bahkan kebanyakan pemimpin dalam kerajaan hari ini lebih memikirkan kerusi, kepentingan diri dan parti masing-masing sahaja.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman mendakwa, perkara itu terbukti apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menafikan ada ramai Ahli Parlimen parti itu yang menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia diikuti pula dengan kenyataan yang saya istilahkan mereka sebagai ‘wakil’ Datuk Seri Najib Razak, yang memang tidak menafikan, bahkan mengiyakan sebilangan besar daripaa MP UMNO menyokong Anwar.

“Isu kerajaan Anwar jadi atau tidak, itu tidak penting. Yang penting ialah pendirian dan sikap MP UMNO yang bergaduh dan tidak kisah apa akan berlaku pada orang Melayu,” dakwanya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung di Facebooknya malam ini, yang mengulas mengenai situasi semasa politik negara.

Ustaz Mohd Hazizi berkata, senario pergaduhan sesama pemimpin UMNO bukanlah baharu berlaku, bahkan sejak zaman konflik antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar lagi.

“Kemudian pada PRU-14, pemimpin-pemimpin UMNO ini bergaduh lagi sesama sendiri.

“Dan sekarang bergaduh pula dengan BERSATU, dan BERSATU itu asalnya daripada UMNO juga.

“Jadi, pada saya tindakan bersepakat dengan Anwar adalah langkah kotor untuk menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

Sebelum ini, Anwar – yang pernah dipenjara atas tuduhan rasuah dan meliwat – mendakwa mendapat sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu.

Presiden PKR itu mendakwa, sokongan Ahli Parlimen itu datang daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun tidak mendedahkan jumlah mereka yang menyokongnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-