Tuesday, September 22, 2020

MCA minta kembalikan asas perkongsian kuasa dalam BN

Wan Syamsul Amly
September 22, 2020 08:39 MYT

MCA dan UMNO antara dua parti terawal membentuk gabungan Parti Perikatan pada 1952. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu kembali kepada perjuangan asas gabungan itu yang memfokuskan kepelbagaian kaum dan perkongsian kuasa untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, BN tidak boleh berfungsi dengan baik sekiranya parti utama iaitu UMNO tidak sejajar untuk mengembalikan semangat gabungan itu.

"BN kalau hendak kuat seperti dahulu, perlu kembali kepada asas. Kekuatan BN adalah kerana kepelbagaian sebab kita mewakili pelbagai kaum di Sabah, Sarawak dan Semenanjung dengan konsep berlandaskan kepada perkongsian kuasa.

"Tetapi selepas 2004, semakin banyak tanggapan bahawa perkongsian kuasa itu tidak lagi seperti dahulu dan banyak kenyataan pemimpin yang dilihat rasis terhadap orang Cina dan India.

"Semua kenyataan ini dan pergolakan sejak 2008 menyebabkan lebih ramai orang Cina dan India melihat bahawa fungsi MCA dan MIC semakin kurang, tidak dapat mencerminkan pandangan orang Cina dan India," katanya semasa dihubungi pada Selasa.

Pada masa ini, MCA memegang dua kerusi Parlimen iaitu Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Ayer Hitam dan Datuk Seri Wee Jeck Seng di Tanjung Piai.

Pada PRU ke-14, MCA hanya menang satu daripada 39 kerusi Parlimen dan 2 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerusi itu adalah Parlimen Ayer Hitam di Johor yang dimenangi Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dengan majoriti hanya 303 undi.

Kerusi berkenaan mempunyai 46,157 pengundi dengan pengundi Melayu sebanyak 66.72 peratus, Cina (31.4 peratus) dan India (1.33 peratus), manakala bakinya lain-lain (0.48 peratus).

Sementara itu, penganalisis politik Phoon Wing Keong berkata, kebanyakan pengundi Cina tidak berpuas hati terhadap MCA kerana merasakan parti itu tidak boleh mempertahankan kepentingan masyarakat Cina terutama dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Tegasnya, pengundi juga menyifatkan MCA tidak boleh menunaikan janji mereka sekali gus menjadi faktor menukar sokongan kepada DAP.

"Dalam PRU akan datang, MCA mungkin boleh menang lebih banyak kerusi jika dibandingkan dengan PRU yang lepas, mungkin MCA boleh menang di Johor Bahru, di selatan Semenanjung juga boleh tambah beberapa kerusi lagi, tetapi tidak boleh memulihkan kekuatannya seperti pada 1999 dan 2004.
"MCA boleh menang sedikit jika dibandingkan dengan PRU lepas tetapi tidak boleh pulih kekuatan mereka sampai ke tahap pada tahun 1990.

"DAP masih boleh mendapat sokongan kebanyakan pengundi Cina pada PRU akan datang, saya rasa mungkin lebih daripada 60 peratus pengundi Cina masih menyokong DAP tapi sokongan kepada DAP akan merosot sikit, 10 ke 20 peratus tetapi DAP masih boleh dapat sokongan melebihi 60 ke 70 peratus sokongan daripada orang Cina," katanya.

MCA dan UMNO antara dua parti terawal membentuk gabungan Parti Perikatan pada 1952 sebelum disertai MIC pada 1973. Gabungan itu kemudian membentuk BN menggantikan Perikatan.

Kedua-dua parti itu buat kali pertama menyertai pilihan raya pada 1952, iaitu Pilihan Raya Perbandaran Kuala Lumpur dan memenanginya sebelum memenangi PRU Malaya yang pertama pada 1955.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-