Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Wednesday, September 30, 2020

Orang Asli, Adun, agensi bersatu bantah nyahwarta hutan simpan

malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 8:55 am

Satu sesi town hall berkenaan rancangan kerajaan Selangor untuk menyahwarta sebahagian besar hutan simpan Kuala Langat (Utara) menyaksikan masyarakat Orang Asli, NGO alam sekitar, agensi persekutuan dan malah syarikat swasta bersama-sama membantah hasrat itu.

Walaupun diadakan di Pulau Carey, yang memakan perjalanan selama 55 minit daripada hutan itu, wakil sekurang-kurangnya tujuh kampung Orang Asli menghadirinya semalam.

Mereka dari Kampung Busut Baru, Kampung Pulau Kempas, Kampung Bukit Cheeding, Kampung Bukit Kecil, Kampung Bukit Tadom, Kampung Sungai Bumbun and Kampung Bakar Leleh.

Tok batin Kampung Busut Sari Senin bangun untuk menjelaskan bagaimana orang di kampungnya sering ke hutan simpan itu untuk mencari makanan, ubat-ubatan dan untuk amalan keagamaan.

"Saya tak setuju cadangan untuk nyahwarta hutan untuk projek pembangunan.

"Kerajaan negeri harus tarik balik penyahwartaan hutan ini," katanya.
Sari Senin
Sementara kebanyakan Orang Asli menyuarakan bantahan terhadap langkah itu, beberapa lagi menggesa lebih perhatian diberikan untuk mewartakan kampung mereka sebagai perkampungan Orang Asli.

Menurut tok batin Kampung Pulau Kempas Rahman Pahat, tanpa geran, ramai Orang Asli hidup dalam kebimbangan tempat tinggal mereka - yang telah diduduki keluarga bergenerasi lamanya - akan dirampas.

"Selagi kampung tak diwarta, selagi itulah pencerobohan berlaku.

"Kami bersuara dalam hal hutan simpan ini, (tetapi) kampung kami apa jadi? Ini yang saya nak, warta penting bagi anak cucu kami," katanya.
Rahman Pahat
Kenapa bangunkan hutan simpan?

Ketika sesi itu, penolong pengarah Seksyen Pengurusan Hutan Lembap Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Harry Yong menggesa kerajaan negeri menimbang semula rancangannya yang disifatkan akan membawa kepada "pembaziran dana awam".

Menurutnya, ini kerana wang pembayar cukai telah pun digunakan untuk memulihkan semula kawasan hutan yang pernah terbakar.

"Kerajaan negeri sendiri bangunkan kemudahan pencegahan kebakaran di hutan simpan ini.

"Dianggarkan kerajaan negeri dan persekutuan telah melaburkan sebanyak RM2.2 juta untuk pemuliharaan hutan," katanya lagi.
Harry Yong
Sementara itu, Pengarah Global Environment Centre (GEC) Faizal Parish Abdullah mahu lebih perincian diberikan berkenaan projek "pembangunan bercampur" yang ingin dilakukan dengan penyahwartaan hutan.

"Pembangunan bercampur apa? Kenapa penting sangat sampai mesti ambil satu hutan paya gambut di selatan Selangor? Apa manfaatnya untuk Orang Asli dan orang Selangor?

"Siapa pemaju? Kita tahu Menteri Besar Incorporated dengan pemaju lain (tetapi) siapa?

"Kenapa mereka nak sangat buat (projek di) kawasan ini? Tak ada tanah lain di Selangor? Kita tahu banyak sangat tanah yang ada," katanya.
Faizal Parish Abdullah
Beberapa peserta lain turut membangkitkan kewajaran projek itu di saat Selangor sudah pun berdepan masalah lambakan hartanah kediaman dan komersial.

Ketua Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM Sharan Raj mengesyaki masalah lambakan itu kian buruk susulan wabak Covid-19.

"Kita ada lambakan. Jadi adakah kita perlukan projek ini?"

Antara yang turut menyuarakan bantahan dalam sesi itu adalah Centre for Orang Asli Concerns (COAC), Malaysia Nature Society, World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Treat Every Environment Special (Trees), Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam (Peka) dan Greenpeace Malaysia.

Boh Plantations Sdn Bhd, yang memiliki ladang Sri Cheeding terletak berhampiran hutan simpan itu, turut menghantar wakil bagi menyuarakan bantahan syarikat terhadap rancangan penyahwartaan.

Selain itu, turut bersama ialah tiga Adun Selangor iaitu Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) dan Lau Weng San (Banting).

Rancangan untuk menyahwarta hutan simpan Kuala Langat (Utara) menerima 45,423 bantahan, termasuk 29,443 menerusi petisyen dalam talian, 11,953 e-mel dan 3,895 bantahan bertulis.
Selain Orang Asli dan NGO, turut membantah adalah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perhutanan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Institut Arkitek Landskap Malaysia (Ilam).

Hee: MBI adalah pemaju 'setakat ini'

Sesi empat jam itu dipengerusikan Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Hee Loy Sian.

Turut hadir adalah wakil daripada Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Alam Sekitar Selangor, Jabatan Tanah dan Survei Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langar dan Jabatan Perhutanan Selangor.

Di awal program, beberapa peserta dilarang memasuki dewan. Perkara itu selesai setelah Hee meminta semua orang untuk dibenarkan masuk.

Dalam ucapan penutupnya, Hee berjanji akan membincangkan persoalan yang dibangkitkan dalam mesyuaratnya bersama pakar dan agensi kerajaan.

Keputusan akhir berkenaan penyahwartaan akan dibuat oleh majlis mesyuarat kerajaan negeri, katanya lagi.
Berkenaan permintaan untuk pewartaan perkampungan Orang Asli, Hee berkata kerajaan negeri telah mengeluarkan geran kepada 74 kampung Orang Asli.

"Kita telah peruntukkan RM1.5 juta untuk proses pewartaan 74 kampung Orang Asli di Selangor dan ini termasuk empat kampung yang disebut tadi, serta Kampung Busut Baru.

"Saya ingin katakan bahawa kita sentiasa pertahan hak Orang Asli," katanya.

Ditanya kemudian berkenaan projek pembangunan bercampur itu, Hee tidak memberikan maklumat tambahan tetapi menjelaskan ia masih di tahap cadangan sehinggalah hutan simpan itu ditukar status menjadi tanah kediaman atau komersial.

"Setakat ini pemaju adalah MBI di bawah kerajaan negeri.

"Kita belum berikan (projek) lagi. Setakat ini MBI," katanya lagi.
Annabelle Lee

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-