Saturday, September 19, 2020

PM untuk semua rakyat bukan pengundi Kerajaan Persekutuan sahaja

Oleh MALAYSIA DATELINE
September 19, 2020


Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri tidak sepatutnya menggunakan isu bantuan untuk meraih undi, tegas Pengerusi Lembaga Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, Muhyiddin harus menjadi Perdana Menteri untuk semua negeri dan semua rakyat Malaysia, bukan sahaja untuk negeri-negeri yang ditadbir parti Kerajaan Persekutuan atau mereka yang mengundi parti Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu sentiasa mengutamakan kebajikan yang saksama. Di bawah protfolio saya sendiri saya telah memberi geran RM10 juta untuk penubuhan 65 buah Taska antaranya di Jabatan Penjara Negeri Sabah, MRSM Tun Mohamad Fuad Stephen, Sandakan, Universiti Malaysia Sabah (Cawangan Sandakan) dan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Pentadbiran).

“Pada tahun lalu, kerajaan PH telah membantu seramai 496,518 orang penerima bantuan di seluruh negara melalui peruntukan sebanyak RM1.765 billion di bawah Bantuan Sosio Ekonomi JKM.

“Daripada jumlah itu, RM165 Juta telah diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA Sabah) yang memberi manfaat kepada 40,743 orang penerima bantuan,” katanya.

Tambahnya yang menasihati kerajaan hari ini supaya meneruskan usaha murni Kerajaan PH dalam merencana pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, 22 bulan kerajaan Warisan + PH memerintah Sabah, telah banyak polisi yang berteraskan kebajikan rakyat dilaksana.

Namun katanya, masih banyak yang perlu dilakukan untuk membantu masyarakat di Sabah ini.

Beliau turut menyeru kepada seluruh rakyat Sabah untuk keluar mengundi pada 26 September ini dan buat pilihan yang tepat.

Wan Azizah mengambil cakna masalah yang dihadapi oleh rakyat Sabah yang berada semenanjung ingin pulang mengundi.

Justeru, beliau mencadangkan kepada syarikat penerbangan untuk memberi diskaun khas kepada mereka ini.

“Semangat patrotisme dan cintakan tanah air yang wajar ditunjukkan oleh syarikat penerbangan tanah air. Saya turut terkesan dengan masalah pembangunan di Sabah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-