Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Sunday, September 27, 2020

Prestasi Perikatan Nasional paling baik dalam PRN Sabah

Bernama
-September 27, 2020 9:18 AM
Perikatan Nasional memenangi 59% daripada kerusi yang ditandinginya dalam PRN Sabah semalam berbanding BN yang dilihat merosot.

KUALA LUMPUR: Prestasi Perikatan Nasional (PN) dilihat menjadi antara penyumbang kepada kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

PN, merangkumi PPBM, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) yang bertanding di bawah 1 logo, berjaya memenangi kira-kira 59% kerusi ditandingi, iaitu 17 daripada 29 kerusi.

Ia melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, Pintasan, Sulaman, Kawang, Membakut, Klias, Kuala Penyu, Karanaan, Paginatan, Tambunan, Bingkor, Liawan, Tulid, Sook, Nabawan, Labuk dan Apas.

Penegrusi PPBM Sabah Hajiji Noor, menang di kerusi Sulaman dengan memperoleh majoriti 3,099, mengalahkan 2 pencabarnya Rekan Hussien daripada Parti Cinta Sabah (PCS) dan Aliasgar @ Ali Ashgar Basri dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan, mengekalkan kerusi DUN Tambunan dengan majoriti 6,792, dalam pertandingan 6 penjuru.

Barisan Nasional (BN), yang dianggotai Umno, MCA dan PBRS, merupakan rakan sekutu dalam GRS memenangi 14 daripada 41 kerusi ditandingi.

BN-Umno memenangi 34% kerusi yang ditandingi, iaitu di Bengkoka, Tempasuk, Usukan, Pantai Dalit, Karambunai, Tanjung Keramat, Pantai Manis, Sugut, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Lamag, Sukau, Balung dan Tanjung Batu.

BN-MCA yang bertanding di 4 kerusi, iaitu Kapayan, Elopura, Karamunting dan Likas, dan BN-PBRS yang bertanding Mattunggong, Tandek, Kadamaian, Tulid dan Sook, gagal memenangi sebarang kerusi.

Prestasi BN merosot, berbanding 29 kerusi yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Melengkapkan kemenangan keseluruhan 38 kerusi GRS ialah 7 kerusi yang menjadi milik Parti Bersatu Sabah (PBS) iaitu di Matunggong, Tandek, Tamparuli, Kiulu, Lumadan, Kundasang dan Telupid.

Warisan, walaupun gagal mempertahankan kerajaan negeri, mencatatkan prestasi lebih baik berbanding PRU14.

Parti itu memperoleh 29 daripada 54 kerusi ditandingi, berbanding 21 kerusi pada PRU14.

Rakan sekutunya dalam Warisan Plus, PKR, mengekalkan 2 kerusi dimenangi pada PRU lalu, iaitu di Inanam dan Api-Api, sementara Upko hanya memenangi DUN Kadamaian daripada 12 kerusi ditandingi.

Pilihan raya negeri itu menyaksikan pertembungan sengit antara GRS dan Warisan Plus dengan parti tempatan, termasuk PCS, yang bertanding di kesemua 73 kerusi, gagal meraih sebarang kemenangan.

Nasib sama turut menimpa Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Liberal Democratic Party (LDP), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Sabah Native Co-operation Party (Anak Negeri), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), dan Parti Kebangsaan Sabah (PKS).

Dalam pada itu 3 kerusi DUN berjaya dimenangi calon Bebas iaitu Ruddy Awah (Pitas), Rubin Balang (Kemabong) dan Masiung Banah (Kuamut).

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-