Sunday, September 20, 2020

Saya boleh dapatkan sokongan untuk jadi PM, kata Anwar

mykmu.net
September 20, 2020

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini berkata, beliau yakin boleh mendapatkan sokongan mencukupi daripada ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Menjawab kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bahawa beliau harus memberi laluan kepada Presiden Warisan Shafie Apdal untuk menjadi calon perdana menteri sekiranya tidak mendapat sokongan, Anwar berkata, ia hanyalah pandangan peribadi Lim.

“Kita terima pandangan, Tidak ada masalah.

“Pandanganya ialah kita beri laluan kalau saya tak boleh. Jawapannya ialah saya boleh,” katanya ketika ditemui hari ini.

Anwar adalah ketua pembangkang dan ahli Parlimen Port Dickson.

Dalam temu bual dengan FMT sebelum ini, Lim mengulangi sokongannya kepada Anwar dan Shafie sebagai calon perdana menteri sekiranya PH kembali berkuasa.

Beliau berkata, presiden PKR dan Warisan terus mendapat sokongannya untuk jawatan tertinggi kerajaan itu.

“Kami menyokong Anwar untuk mendapat jumlah (sokongan) itu, tetapi jika beliau tidak mampu, kami perlu memberi Shafie peluang dan penghormatan sewajarnya sebagai PM pertama dari Malaysia Timur,” katanya.

Pada Julai, Lim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu tampil dengan rancangan Anwar atau Shafie bagi merungkai kebuntuan antara bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar, tetapi berkata, rancangan itu hanya akan berjaya dengan sokongan semua ahli Parlimen yang bersekutu dengan PH.

Sesetengah pemimpin PKR tidak bersetuju dengan berkata, PH perlu kekal dengan rancangan yang dibuat sebelum pilihan raya umum 2018 yang menyetujui Mahathir dan Anwar sebagai calon.

Berikutan itu, Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah Razeef Rakimin mempersoal kenyataan Lim dan mengkritik sokongan berterusannya kepada Shafie sebagai calon perdana menteri.

Razeef menyifatkan kenyataan Guan Eng itu seolah-olah “kemaruk” untuk berkuasa semula sehingga sanggup membelakangkan setiakawan PH.

“Jika beliau sudah tiada semangat setiakawan, bubarkan sahaja Pakatan Harapan. Ini kerana tindakan mereka sebelum ini pun seolah-olah membelakangi PH,” katanya. FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-