Thursday, September 24, 2020

‘Siapa dari Umno mahu DAP berkuasa kembali?’

by1Media.my
-September 24, 20200


Seorang pemimpin Bersatu tertanya-tanya siapa ahli parlimen Umno yang bersedia melihat DAP kembali ke koridor kuasa.
Muhammad Faiz Na'aman mengemukakan persoalan itu sebagai mengulas kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bahawa ramai ahli parlimen dari partinya dan BN menyokong usaha pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

“Lalu menimbulkan spekulasi, ahli-ahli parlimen Umno mana pula yang reda melihat DAP kembali berkuasa dengan menyokong presiden PKR itu menjadi perdana menteri?

“Sedangkan agenda DAP ternyata amat bertentangan dengan asas perjuangan parti-parti yang berasaskan nasionalisme dan Islam seperti Umno tersebut,” kata anggota Majlis Pimpinan Terttinggi (MPT) Bersatu itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Umum tahu, katanya bahawa menyokong Anwar, bagaikan memberi nyawa secara tidak langsung kepada DAP untuk kembali ke Putrajaya.

“Kerana PKR dan DAP masih rakan dalam Pakatan Harapan (PH) selain Amanah,” katanya.

Sebagai rekod, Bersatu pernah menjadi sebahagian daripada gabungan PH yang menumbangkan pentadbiran enam dekad Umno-BN pada pilihan raya umum lalu.

Walau bagaimanapun, pada bulan Februari lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa keluar parti itu dan ini menyaksikan kejatuhan kerajaan PH setelah 22 bulan memegang tampuk pemerintahan negara.

Muhyiddin kemudiannya dilantik sebagai perdana menteri setelah menjalin pakatan menerusi Perikatan Nasional bersama-sama dengan gabungan Muafakat Nasional Umno / BN-PAS dan lain-lain.

Bagaimanapun, pemerintahannya tetap rapuh dengan majoriti tiga kerusi di Dewan Rakyat.

Sejak itu, beberapa pemimpin Bersatu, seperti ketua Pemuda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mempersalahkan DAP berhubung keputusan mereka meninggalkan PH.

Umano dan PAS juga berulang kali mendakwa DAP sebagai ancaman kepada Islam dan orang Melayu, tetapi ini disanggah oleh pemimpin DAP. Bagi mereka, ia satu rekayasa yang bertujuan menyemai bibit kebencian di kalangan pengundi Melayu / Islam.

Tahun lalu, Zahid berkata bahawa Umno akan menolak segala bentuk kerjasama dengan parti yang bersama dengan DAP.

Semalam, Amwar mendakwa bahawa dia telah mendapat sokongan majoriti ahli parlimen dan mengumumkan bahawa kerajaan Muhyiddin telah jatuh.

Presiden PKR itu berikrar akan mendedahkan lebih banyak butiran selepas dia menghadap Yang di-Pertuan Agong yang sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.

Sementara itu, Muhammad Faiz membidas Anwar kerana membuat pendedahan itu ketika Seri Paduka masih menerima rawatan.

“Rata-rata warga Malaysia khususnya Melayu-Islam melihat pengumuman Anwar di kala Yang di-Pertuan Agong sedang gering dan sedang dirawat di IJN itu sebagai gopoh serta biadab.

“Negara masih dibelenggu dengan penularan wabak Covid-19. Manakala ekonomi Malaysia berada dalam fasa pemulihan ketika ini.

“Pengumuman kononnya kerajaan kita jatuh dan diri seseorang itu pula layak menjadi perdana menteri secara tidak langsung telah mensabotaj kestabilan ekonomi negara kerana ia turut mempengaruhi pasaran saham dan nilai ringgit,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-