Monday, September 28, 2020

UMNO, PPBM bersatulah, jangan sebab dendam ‘nasi jadi bubur’

Siti Fatimah
ismaweb.net

Turunkan ego, fikir masa depan yang lebih penting dari masa kini


INSAFLAH wahai umat Islam, hentikan segera pertikaian sesama sendiri, demi masa depan anak bangsa dan tanah air tercinta ini

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, semakin jelas menunjukkan bagaimana kedudukan sebenar penyatuan umat Islam. Bertambah kuat, atau sebaliknya bertambah lemah. Jawapannya, jelas semakin lemah dan mungkin menuju kehancuran jika tidak dibendung.

Saya tidak pernah risaukan ultra kiasu kerana mereka memang bersatu, walaupun nampak ada sedikit ‘berpecah’. Tetapi mereka tetap satu. Soalnya kita, umat Islam, terutama parti-parti Melayu UMNO dan PPBM.

Saya tidak pernah risaukan PAS (juga BERJASA), kerana mereka sudah ‘sedar’ akan hala tuju. Tetapi belum lagi untuk UMNO dan PPBM.

Sehingga sudah mencapai kemenangan pun dalam PRN Sabah, penentuan siapakah yang sepatutnya menjadi Ketua Menteri, antara calon PN (Hajiji) dan BN (Bung Moktar), masih berbelah bahagi, sehinggakan sukar untuk Tuan Yang Terutama (Gabenor) untuk membuat keputusan.

Dibimbangi, akhirnya nanti, disebabkan oleh pertikaian yang tidak berkesudahan, ultra kiasu yang berkuasa walaupun tidak mendapat majoriti.

Insaflah…

Saya tidak boleh bayangkan, jika diumumkan Pilihan Raya Umum (PRU15) tidak lama lagi. Melihat kepada pertembungan antara PN dan BN di Sabah, tidak mustahil pertembungan ini akan berlaku hebat di Semenanjung, terutama antara UMNO dan PPBM. PAS turut juga akan menuntut tetapi mungkin tidak sehebat UMNO dan PPBM.

UMNO selaku parti yang paling senior dan paling banyak mendapat kerusi, sudah tentu mahukan lebih banyak kerusi.

PPBM (Bersatu) meskipun masih baharu, tidak punya kekuatan akar umbi, tetapi lebih banyak bersandar kepada Perdana Menteri (PPBM), pasti tidak mahu mengalah kepada UMNO.

Saya menaruh harapan yang tinggi, untuk PAS dan BERJASA boleh menjadi moderator masalah yang dihadapi antara UMNO (BN) dan PPBM (PN). Jika ‘perbalahan’ antara kedua parti ini, yang asalnya satu (UMNO), tidak dapat diselesaikan, tidak mustahil, ultra kiasu akan kembali berkuasa.

Jika itu terjadi lagi, selepas ini kita hanya akan mengigit jari. PRU14, jatuh, bangun kembali. PRU15, jika jatuh lagi, memang tidak akan bangun-bangun lagi, kerana ultra kiasu sudah menjadi terlalu kuat.

Jika UMNO dan PPBM, boleh bersatu, tidak mustahil Selangor akan jatuh, begitu juga Pulau Pinang.

Pokoknya, parti-parti Melayu (Islam) mesti bersatu. Jika PAS yang begitu lama berseteru dengan UMNO pun boleh bersatu atas kepentingan agama, bangsa dan negara. Kenapa UMNO dan PPBM, yang asalnya PPBM daripada UMNO, tidak boleh bersatu. Semua ini kerana EGO tinggi dan dendam tidak terbalas. EGO, EGO, EGO.

Lupakanlah, fikirkanlah soal masa depan anak bangsa. Bersatulah. Kelakar sangat melihat, dalam meraikan kemenangan PRN Sabah dua hari lepas, PN berada di tempat lain, manakala UMNO (BN) berada di tempat yang lain.

Kelakar sangat melihat, dua-dua calon Ketua Menteri mengadap TYT daripada parti ‘muafakat’ yang sama. Musuh-musuh melihat sahaja dan sedang mengatur strategi

Justeru, segeralah mencari ubatnya. Penyelesaiannya.

Apakah asas dan terma kepada penyatuan ini?

Pertama, letakkan kepentingan agama (Allah) mengatasi segala-galanya. Tidak ada yang lebih mulia dalam kehidupan, melainkan dengan meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan apabila berlaku pertikaian. Peringatan Allah SWT ini jangan dilupakan sama sekali.

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.(Al Imran:103)
“Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”(An-Nisa’ : 59).

Kedua, buang segera ego jauh-jauh. PPBM jangan terlalu ego hanya kerana PM adalah daripada partinya. Percayalah, akar umbi PPBM tidak kuat, bergantung kepada UMNO (PAS) untuk menggerakannya pada PRU15 akan datang

Ketiga, UMNO selaku parti yang paling senior, hendaklah bertindak secara hikmah dan matang. Saya tidak boleh bayangkan jika UMNO sanggup bekerjasama dengan ultra kiasu bagi menjatuhkan pimpinan PPBM. Jika itu berlaku, ia adalah satu malapetaka.

UMNO mesti mengakui dan menerima kewujudan PPBM kerana ia memang tidak dapat disangkal lagi. Ingat! Tertubuhkan PPBM adalah disebabkan oleh kelemahan dalam UMNO itu sehingga menyebabkan perpecahan berlaku. Terimalah hakikat ini.

Saya tidak nafikan UMNO perlu diberikan kerusi yang paling banyak berbanding rakan-rakan parti dalam PN. Perkara ini perlu dilakukan dengan strategi yang paling bijaksana.

Keempat, siapakah musuh kita yang sebenar? Perkara ini perlu jelas. UMNO dan PPBM, adalah sesama saudara, seagama. Air dicincang tidak akan putus. Isunya hari ini, siapa memerlukan siapa? Jawapannya, tidak siapa memerlukan siapa, tetapi sebenar adalah apa?

Apa yang benar, apa yang salah, yang telah dilakukan selama ini. Buatlah muhasabah dengan segera sebelum terlambat.

Kelima, PAS dan BERJASA mesti segera, bertindak untuk menjadi moderator kepada kedua parti yang sama yang sedang berseteru ini.

Jika tidak boleh juga bersatu, maka rakyat Malaysia mungkin tidak ada pilihan lain, melainkan memilih PAS dan BERJASA untuk menyelamatkan negara ini.

Keenam, ingatlah, hidup ini tidak kekal lama, kuasa dan semua yang ada hanya sementara. Tidak ada siapapun yang boleh menongkat langit. Perkiraan akhir kita, mahu ke syurga atau neraka. Syurga sudah terbentang luas, kenapa neraka yang dicari.

Coretan ini mungkin nampak sinis dan kelakar, tetapi semua itu tidak mustahil. Gerakan menyatukan ummah ini mesti dilakukan segera sebelum nasi menjadi bubur.

Tidak ada gunanya lagi menyesal jika sudah menjadi bubur walaupun menangis air mata darah sekalipun.

Sekali lagi, PRN Sabah, tahniah kepada yang menang, harap tidak ada lagi katak-katak yang akan melompat. Buanglah sifat haiwan ini, masukkan sifat manusiawi. In shaa Allah, kejayaan pasti akan bersama.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-