Saturday, October 24, 2020

Agong akan runding cadangan Muhyiddin dengan Raja-raja Melayu

FMT Reporters
-October 24, 2020 12:11 PM
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihati rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini.

PETALING JAYA: Yang Di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memaklumkan akan berunding dengan Raja-raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan dikemukakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam pertemuan berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam, Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat cadangan yang dicapai dalam mesyuarat khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan.

“Adalah dimaklumkan Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak Covid-19.

“Malah, Agong turut prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Muhyiddin dilihat meninggalkan Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang selepas lebih 2 jam menghadap Agong, dipercayai berhubung kemungkinan pelaksanaan perintah darurat separa untuk menangani Covid-19.

Terdahulu, Bernama melaporkan kenderaan membawa Muhyiddin dilihat meninggalkan istana pada 7.10 malam. Beliau tiba di istana pada 4.40 petang tadi.

Turut kelihatan kenderaan membawa Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang dan beberapa kereta rasmi milik kerajaan negeri Pahang.

Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya semalam untuk membincangkan isu-isu semasa dan urusan kerajaan.

Affendi juga dipercayai hadir dalam mesyuarat itu.

Terdahulu tersebar luas spekulasi yang mendakwa kerajaan mempertimbangkan langkah mengisytiharkan darurat bagi menangani pandemic Covid-19 yang merekodkan angka jangkitan 700 hingga 800 kes sehari.

Sultan Abdullah turut menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini, sementara menunggu keputusan mengenai cadangan kerajaan.

Kenyataan itu bagaimanapun ia tidak menjelaskan cadangan tersebut.

“Seluruh rakyat turut dinasihati tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai selama ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-