Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Thursday, October 29, 2020

'Cadangan Najib mahu kerjasama dengan Anwar beri kesan pada Umno'

Haspaizi Zain
malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 8:02 pm

Pemerhati politik mempersoal agenda bekas perdana menteri Najib Razak yang mencadangkan Umno supaya bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan.

Bekas pensyarah kanan dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Madya Dr Jeniri Amir, berkata cadangan itu jelas bertentangan penerimaan dengan akar umbi Umno yang menolak Anwar serta DAP.

"Najib ini hendak selamatkan dirinya, apa motif dia mahu kerjasama dengan Anwar? Mungkin hendak selesaikan kes dengan cara yang munasabah.

"Cadangan Najib beri kesan kepada Umno. Seolah-olah Najib masih ada kuasa besar dalam Umno. Akar umbi Umno rata-ratanya menolak kerjasama dengan Anwar.

"Jika kita tengok tindak balas di media sosial, rata-ratanya tidak berpuas hati," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 26 Okt lalu, bekas perdana menteri Najib Razak mengakui bahawa dia ada mengemukakan cadangan untuk Umno mempertimbangkan kerjasama dengan presiden PKR itu.

Bagaimanapun, Najib menegaskan bahawa cadangannya itu adalah dengan syarat DAP tidak terlibat.

Cadangan itu dikemuka dalam pertemuan anggota parlimen BN, berikutan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional untuk mendapatkan pengisytiharan darurat.

Dalam pada itu, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat cadangan Najib itu sebagai beberapa alternatif yang dikemukakan jika Bersatu gagal memenuhi kehendak Umno sebagai parti dominan.

"Itu cadangan alternatif Najib kalau gagal dalam permintaan Umno kepada Bersatu. Jadi, cadangan itu kalau Anwar boleh tunaikan permintaan mereka.

"Bagaimanapun majoriti tak setuju, tak mahu kerjasama dengan Anwar," katanya ketika dihubungi.
Mohd Aizzuddin Mohd Sani
Azizuddin berkata, Umno perlu melihat "keuntungan" termasuk dari segi agihan kerusi dalam soal kerjasama mereka.

Sementara itu Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub, berkata keputusan mesyuarat MT untuk terus kekalkan kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai mengutamakan kepentingan rakyat.

"Keputusan MT Umno adalah selari dengan keputusan yang diumum oleh presiden Umno sebelum ini yang Umno telah mengisytiharkan genjatan politik dan sekali gus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu parti-parti politik menghentikan politiking dan menumpukan kepada usaha untuk mengekang penularan Covid-19.

"Veteran berharap keputusan yang dibuat oleh MT akan dapat diterima oleh semua rakan PN dengan rasa penuh tanggungjawab, terbuka dan berjiwa besar.

"Kalau Umno boleh berkorban maka tidak ada sebab yang lain tidak boleh melakukan pengorbanan yang sama," katanya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 26 Okt lalu mencapai keputusan untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin namun menggesa penambahbaikan kerjasama berdasarkan nilai penghormatan dan konsensus politik.

Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-