Wednesday, October 28, 2020

Laporan: Muhyiddin tunggu calon TPM dari Umno, tapi enggan terima Zahid

malaysiakini.com
Diterbitkan 27 Oct 2020, 11:47 pm

Muhyiddin Yassin didakwa sedang menunggu Umno mencalonkan pemimpin parti itu yang dianggap boleh diterima untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri, lapor sebuah laporan media hari ini.

Memetik sumber yang tidak didedahkan, Sin Chew Daily mendakwa presiden Bersatu itu bersedia melantik seorang wakil Umno ke jawatan berkenaan dan terserah kepada parti terbabit mengemukakan calon.

Bagaimanapun kata sumber berkenaan Muhyiddin tidak dapat menerima Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebagai timbalannya kerana ahli parlimen Bagan Datuk itu masih dibicarakan di mahkamah.

“Tan Sri (Muhyiddin) boleh terima Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan; Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob atau Hishammuddin Hussein yang kini tiada sebarang jawatan dalam parti.

"Sekarang (Muhyiddin) cuma menunggu cadangan Umno, tapi jika mereka bertegas mahukan Zahid, maaflah," katanya.

Untuk rekod Hishammuddin ialah bekas naib presiden Umno.

Selepas dilantik menjadi perdana menteri pada Mac lalu, Muhyiddin tidak melantik timbalan perdana menteri seperti biasa yang dilakukan pemimpin terdahulu.

Sebaliknya dia melantik empat menteri kanan. Daripada jumlah itu dua adalah dari Bersatu, seorang Umno dan seorang lagi Gabungan Parti Sarawak.

Menurut laporan itu lagi, seorang sumber dari Umno mendakwa parti berkenaan diminta membentuk sebuah jawatankuasa rundingan bagi membincangkan terma baru kerjasama mereka dengan Bersatu, termasuk pelantikan timbalan perdana menteri dan jawatan lain.

Jika Muhyiddin gagal memuaskan hati Umno, kata sumber-sumber, mereka akan mendesak agar pilihan raya umum (PRU) diadakan sebaik saja ancaman Covid-19 berkurangan.

Katanya pertemuan Majlis Tertinggi Umno semalam turut membincangkan kemungkinan menyegerakan PRU.

"Tapi ini bergantung kepada langkah lanjut Muhyiddin, termasuk jika dia mengemukakan tawaran baru kepada Umno seperti pelantikan timbalan perdana menteri, usaha menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi," kata sumber yang hadir dalam pertemuan semalam.

Malaysiakini belum dapat mengesahkan kesahihan laporan berkenaan.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-