Saturday, October 24, 2020

Muhyiddin bukan semestinya PM semasa darurat

Oleh BORHAN AHMAD

Ku Li dipanggil menghadap oleh Yang Dipertuan Agong, Azmin mencadangkan darurat dalam Kabinet.

Selepas Kabinet Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersembahkan agar darurat diistiharkan di negara ini, kini Tuanku Yang Dipertuan Agong akan membincangkan dengan Majlis Raja-raja untuk membuat keputusan.

Bagi banyak pihak, Tuanku tidak terikat sekarang samada mahu melantik Muhyiddin atau tidak sebagai ketua pentadbir negara semasa tempoh darurat kerana baginda akan mementingkan negara bukan lagi individu.
DR ZULQARNAIN LUKMAN

“Tuanku tidak semestinya melantik Muhyiddin sebagi ketua pentadbir. Baginda boleh melantik orang lain untuk menjadi perdana menteri semasa tempoh darurat ini,” kata Dr Zulqarnain Lukman, peguam yang mengetuai Biro Undang-undang AMANAH atau Kanun.

Bagi Zulqarnain juga, semua orang sedar sekarang kegagalan Muhyiddin untuk membuat perundingan dengan pembangkang untuk mempastikan majoriti MP menyokong beliau.

“Beliau gagal berkongsi kuasa. Dia mau bolot saja. Hasilnya semua marah termasuk Umno. Pas saja yang tak marah,” kata bekas pemimpin pemuda Pas itu.

Media melaporkan, Yang Dipertuan Agong akan merujuk permohonan Kabinet Muhyiddin untuk mengistiharkan darurat selepas Baginda dipersembahkan mengenainya di Istana Pahang.

Bagi orang kanan Datuk Seri Najib, tidak sesuai Baginda melantik Muhyiddin kerana sudah diketahui beliau tidak mempunyai sokongan majoriti atau ditolak anggota Dewan Rakyat yang dipilih rakyat dalam pilihan raya lalu.

LOKMAN NOOR ADAM

Datuk Lokman Noor Adam dalam facebok beliau berkata, permohonan Muhyiddin dan Kabinetnya untuk diadakan darurat sudah diketahui kerana beliau tidak mahu belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan nanti ditolak.

“Jadi jelas, Muhyiddin tahu dia tidak ada sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat,” kata beliau menerusi facebooknya.

CALON-CALON PM SELAIN MUHYIDDIN

Bagi Dr Zulqarnain, jika bukan Muhyiddin, ada dua calon yang mungkin akan menjadi perhatian untuk dilantik sebagai ketua pentadbir negara ketika berada dalam tempoh darurat ini.

“Pertama Azmin Ali. Saya rasa Azmin membaca sejarah ketika beliau mengusulkan dalam mesyuarat Kabinet agar negara dikenakan perintah darurat.

“Ketika Tunku Abdul Rahman sebagai perdana menteri dahulu mencadangkan darurat, Tun Razak yang ketika itu timbalan perdana menteri dipilih sebagai ketua pentadbir negara semasa darurat bukan Tunku,” kata Zulqarnain yang mempunyai PhD dalam undang-undang.

Jadi, katanya, beliau tidak terkejut Azmin merancang untuk memungkinkan beliau dilantik menjadi PM semasa kerajaan darurat.

“Kalau di Selangor dia boleh buat, dia juga boleh buat di sini kerana beliau dianggap penjaga pintu istana,” katanya.

Nama kedua yang mungkin menjadi pilihan Tuanku adalah Tengku Razaleigh Hamzah, ahli parlimen Gua Musang yang dipanggil Tuanku untuk menghadap Baginda selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap pada 13 Oktober lepas.

“Saya rasa Tuanku akan mempertimbangkan Tengku Razaleigh. Pertama kerana beliau bukan tokoh dominan dalam Umno, kedua umurnya sudah 84 dan yang ketiga dia ada darah raja.

“Dengan ciri-ciri ini, Ku Li akan bertindak bukan untuk kepentingan dirinya secara peribadi sebagaimana Muhyiddin yang akan dikatakan cuba untuk menjaga kepentingan dirinya.

“Dengan umur 84 tahun, Ku Li bukan mentadbir atas cita-cita politiknya. Dia juga bukan berwatak suka berperang,” kata Zulqarnain.

APA MAKNA DARURAT

Dalam masa yang sama, Zulqarnain menjelaskan makna darurat kepada rakyat negara ini.

“Darurat bermakna pemusatan kuasa kepada pihak yang dilantik. Keputusan mereka tidak boleh dipertikai oleh mahkamah, orang politik juga tidak boleh bertindak melalui parlimen kerana parlimen digantung.

“Jika didapati mana-mana pihak cuba mengganggu gugat kuasa mereka, undang-undang baru boleh dibuat tanpa perlu ke parlimen. Ia termasuklah menyekat suara-suara itu dengan menyekat media sosial misalnya, jika ia didapati mengganggu.

“Mahkamah tidak boleh campur tangan dalam mana-mana peraturan yang dibuat melalui perintah darurat,” kata beliau.

Antara mangsa utama darurat dalam sejarah adalah tokoh wartawan Said Zahari yang ditahan bertahun-tahun di bawah perintah darurat.

MANGSA UTAMA DARURAT

Kesan utama kepada darurat adalah ekonomi, kata Zulqarnain lagi.

Ini kerana pelabur takut untuk melabur kerana ketidaktentuan kepada pelaburan mereka.

“Jika kerajaan yang dilantik mendapati wang negara tidak cukup misalnya, GST boleh dikenakan balik tanpa perlu di bawa ke Parlimen. Ia boleh dilakukan semasa perintah darurat,” kata beliau.
malaysiadateline.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-