Friday, October 30, 2020

Semua menteri Umno kekal dalam Kabinet, kata Zahid

Mohamad Fadli
freemalaysiatoday.com
-October 30, 2020 6:53 AM
Majils Kerja Tertinggi Umno mengadakan mesyuarat khas di Pusat Dagangan Dunia Putra hampir 5 jam malam tadi.

PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua menteri daripada parti itu akan kekal dalam Kabinet pimpinan Perikatan Nasional diketuai Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika timbul spekulasi mereka akan diminta meletak jawatan.

Zahid dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi Umno hampir 5 jam di Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi berkata, parti itu juga memutuskan pilihan raya umum perlu diadakan selepas pandemik Covid-19 dapat dikawal.

Beliau turut mengulangi kepentingan melaksanakan gencatan politik dan perdamaian nasional demi memerangi Covid-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik.

Katanya, Umno menyokong titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu untuk terus memastikan negara ditadbir dengan baik berpandukan undang-undang.

Zahid berkata, Umno akan memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat untuk Belanjawan 2021, termasuk lanjutan tempoh moratorium pembayaran balik pinjaman, bantuan sara hidup kepada pekerja hilang punca pendapatan akibat Covid-19, bayaran khas kepada petugas barisan depan dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

“Umno akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan,” katanya.

Beliau kesal dengan pihak yang mempersoalkan keputusan parti itu menyokong titah Agong dan raja-raja Melayu yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya pendirian Umno dalam perkara ini masih dipersoalkan, Umno tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas demi menjaga kedaulatan raja-raja dan kepentingan rakyat.

Mesyuarat MKT malam tadi bermula kira-kira 8 malam dan ia adalah mesyuarat ke-2 dalam tempoh 4 hari.

Antara ahli MKT yang hadir ialah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin, Abdul Rahman Dahlan, Noh Omar, Shahidan Kassim, Razali Ibrahim, Tajuddin Abdul Rahman, Ahmad Shabery Cheek, Ahmad Said dan Jalaluddin Alias

Isnin lalu, mesyuarat diadakan untuk memutuskan hala tuju Barisan Nasional selepas Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Ahad lalu memutuskan tiada keperluan mengisytiharkan darurat bagi membendung Covid-19.

Semalam, seorang pemimpin kanan Umno dilaporkan berkata, parti itu perlu mempunyai kata putus berhubung individu yang mahu dicalonkan sebagai timbalan perdana menteri.

Menjelang mesyuarat malam tadi, timbul spekulasi mengatakan Umno akan mendesak rombakan Kabinet diadakan.

Orang dalam parti memberitahu FMT, ada isu dengan kumpulan menteri sedia ada daripada Umno kerana pelantikan tidak mengikut hierarki parti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-