Saturday, October 17, 2020

Surat didakwa sokong Anwar palsu, kata pegawai Zahid

FMT Reporters
-October 17, 2020 4:29 PM

Pada 23 Sept lalu, Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai ‘sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan’ daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

PETALING JAYA: Seorang pegawai kepada Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan presiden Umno itu menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri baru.

“Surat itu palsu,” katanya ringkas kepada FMT hari ini selepas sepucuk surat tersebar di media sosial mendakwa Zahid menyokong Anwar membentuk kerajaan baru.

Dalam surat bertarikh 11 Okt itu, Zahid didakwa bersama sejumlah ahli Parlimen Umno menyokong Anwar dan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Surat itu didakwa turut disokong bekas perdana menteri, Najib Razak.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Umno, Mohd Sumali Reduan berkata, pejabat presiden Umno tidak pernah mengeluarkan surat itu.

Katanya, surat itu mungkin disebarkan pihak berniat jahat untuk merosakkan imej Zahid.

“Saya dan pegawai pejabat presiden yang selalu bertanggungjawab menyediakan segala surat-menyurat dan ‘letter head’ tidak pernah dikeluarkan (surat) tanpa nombor rujukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 23 Sept lalu, Anwar mendakwa mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

Susulan pengumuman ketua pembangkang itu, Zahid dilaporkan berkata, beliau dimaklumkan ramai ahli Parlimen Umno menyokong Anwar dan beliau tidak dapat menghalang mereka berbuat demikian.

Bagaimanapun, pada 12 Okt lalu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz dilaporkan berkata, tiada seorang pun daripada 23 ahli Parlimen Umno menyokong rancangan Anwar membentuk kerajaan baru.

Katanya, hanya kerana Zahid berkata ahli Parlimen Umno bebas menyokong sesiapa yang mereka mahu, tidak bermakna mereka menyokong Anwar.

Anwar menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara Selasa lalu bagi menunjukkan bukti beliau mempunyai majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru.

Beliau pada sidang media selepas itu berkata, Agong akan menemui beberapa pemimpin parti politik dalam beberapa hari selepas beliau menyerahkan dokumen terdiri daripada akuan bersumpah dan pengesahan ketua parti kepada Sultan Abdullah.

Selasa lalu, Umno mengumumkan ia mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional dan menetapkan syarat baru kepada kerajaan untuk meneruskan kerjasama politik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-