Wednesday, October 28, 2020

Zahid, Ismail, Hishammuddin calon TPM Umno?

FMT Reporters
-October 28, 2020 4:41 PM
Walaupun majoriti ahli Parlimen Umno dikatakan menyokong Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan itu, ada spekulasi beliau mungkin mendatangkan risiko kerana perbicaraannya yang sedang berlangsung.

PETALING JAYA: Orang dalam parti berkata Umno kembali ke “drawing board” berhubung calon bagi jawatan timbalan perdana menteri dalam kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, sumber memaklumkan Umno hanya mengemukakan seorang calon iaitu presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Majoriti 39 ahli Parlimen Umno dikatakan berpihak kepada ahli Parlimen Bagan Datuk itu dan mahu beliau mengambil semula jawatan timbalan perdana menteri sebagai sebahagian daripada “syarat baharu” Umno kerana terus menyokong kerajaan PN.

“Pilihan kami adalah Zahid kerana beliau berpengalaman, sebagai timbalan perdana menteri juga,” kata sumber itu.

Bagaimanapun, sumber itu berkata nama lain yang kini turut disebut termasuk Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein.

Terdapat spekulasi Zahid mungkin dilihat sebagai risiko, sementara sumber itu tidak mahu mengulas mengenai presiden, menyatakan Ismail dilihat sebagai “wajar dan berkecuali”.

“Beliau tidak membawa beban politik dan kes mahkamah. Dia popular dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sebilangan ahli Parlimen Umno mencadangkan nama Hishammuddin tetapi sumber itu berkata, ahli Parlimen Sembrong dilihat “rapat” dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Mohamed Azmin Ali dari PPBM.

“Keputusannya mungkin tidak mewakili suara Umno. Ahli Parlimen melihat pelbagai faktor sebelum membuat keputusan,” katanya sambil menambah mereka mahu seorang ahli Parlimen yang diterima oleh semua.

Sumber itu turut menyatakan timbalan presiden Mohamad Hasan tidak dicalonkan, namun, mengikut hierarki, beliau nombor 2 selepas Zahid.

Katanya, ini kerana Mohamad tidak “diterima dengan baik” oleh ahli Parlimen Umno walaupun beliau dilihat sebagai “berjiwa rakyat” oleh akar umbi serta rakyat berbilang bangsa dan agama.

Tidak diketahui bila senarai akhir pilihan Umno bagi jawatan timbalan perdana menteri itu akan diserahkan.

Sementara itu, ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz berkata tiada masalah siapa daripada Umno yang akan ditawarkan jawatan berkenaan.

“Tidak semestinya Zahid. Kami faham jika tidak ditawarkan kepadanya kerana perbicaraannya sedang berlangsung.

“Kita mesti mencontohi Bossku (Najib Razak) yang tidak mahu memegang jawatan sehingga namanya dibersihkan. Apa yang penting timbalan perdana menteri dari Umno dan mewakili parti dan Barisan Nasional,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-