Thursday, November 26, 2020

Agong zahir terima kasih pada MP sokong belanjawan

malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 5:58 pm
Dikemaskini Hari ini 6:03 pm

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan penghargaan kepada semua ahli parlimen yang menyokong untuk meluluskan Belanjawan 2021 pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka mengalu-alukan sokongan yang diberikan bagi menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara akibat wabak Covid-19.

"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah mendukung titah nasihat baginda pada 28 Oktober 2020 lalu untuk memberi sokongan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta kemaslahatan negara.

"Sesungguhnya, selain daripada pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat, Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak Covid-19," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya selaku ketua negara, Al-Sultan Abdullah menghormati setiap parti politik dan menghargai peranan serta amanah yang dipertanggungjawabkan kepada ahli parlimen dalam membela kebajikan rakyat.

"Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda amat menghargai komitmen dan semangat muafakat serta gandingan bahu setiap pihak kerana ia amatlah penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama.

Tambahnya, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan kerajaan untuk menerajui pentadbiran negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ketika ini.

Terdahulu, Belanjawan 2021 lepasi ujian pertama apabila diluluskan melalui undi suara di Dewan Rakyat hari ini.

Cubaan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang mahu pengundian dibuat secara belah bahagi tidak kesampaian apabila hanya 13 ahli parlimen yang berdiri untuk menyokong cadangan tersebut daripada 15 sokongan yang diperlukan.

Bagaimanapun pengundian hari ini adalah kekangan pertama yang perlu dilalui sebelum Belanjawan 2021 dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk dibahaskan dan sekali lagi diundi untuk diluluskan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-