Friday, November 27, 2020

Anwar mengaku buat keputusan tolak undi belah bahagi

Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON
malaysiadateline.com
November 27, 2020 8:00 pm

Anwar Ibrahim

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku telah membuat keputusan sebagai Ketua Pembangkang untuk mengarahkan agar tidak menyokong dan menolak cadangan undi belah bahagi dalam Dewan Rakyat semalam.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, beliau telah meminta ketua-ketua whip parti pembangkang untuk tidak berbuat demikian biarpun rakan komponen lain merasakan undi belah bahagi adalah perlu waktu itu.

“Walaupun rakan-rakan khususnya Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu merasakan perlu dibuat undi belah bahagi pada waktu itu, saya telah membuat keputusan sebagai Ketua Pembangkang serta Pengerusi Pakatan Harapan untuk meminta ketua-ketua whip parti pembangkang tidak berbuat demikian.

“Ini supaya Ahli-Ahli Parlimen dapat meneliti secara terperinci dan mendalam keseluruhan pengumuman Menteri Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bersidang sehari sebelum penggulungan Belanjawan 2021 iaitu pada 25 November, telah mengambil keputusan untuk menolak Belanjawan 2021.

Keputusan itu dibuat tiga pimpinan tertinggi setiap parti PH dan dimaklumkan keputusan itu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebaik sahaja keputusan itu dicapai.

Bagaimanapun pada semalam, tindakan Anwar dan partinya termasuk DAP yang tidak menyokong cadangan undi belah bahagi menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan.

Sementara itu, Anwar berkata, peluang masih wujud untuk menyatakan pendirian tegas menolak belanjawan termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa dalam minggu-minggu akan datang.

Katanya juga, dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa nanti, ahli-ahli Parlimen berhak mempersoal apakah peruntukan yang disebutkan Menteri Kewangan semalam adalah tambahan kepada yang telah diumum atau terhasil dari pemotongan mana-mana Kementerian lain

Selain itu katanya, kerajaan perlu menjelaskan juga berapa jumlah sebenar belanjawan, serta kesan terhadap situasi kewangan negara, selain isu golongan yang masih mendambakan bantuan seperti pemandu teksi, pengusaha kantin dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-