Tuesday, November 24, 2020

Najib pertikai keputusan hapus kuarantin wajib dari Sabah

FMT Reporters
-November 24, 2020 7:15 PM

Najib Razak berkata walaupun jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah menunjukkan trend menurun sejak minggu lepas tetapi jumlah kes dikesan dari kategori “lain-lain saringan” masih tinggi.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan keputusan kerajaan menghentikan perintah kuarantin wajib 14 hari bagi individu dari Sabah yang diuji negatif Covid-19, berkuat kuasa 25 November ini.

Dalam catatan di Facebook, Najib berkata dia bersangka baik perubahan syarat hari ini adalah berasas.

“Saya harap tidak ada kena-mengena dengan kepentingan politik memandangkan ada ahli Parlimen yang masih berada di Sabah yang mungkin dihalang untuk mengundi bagi bajet (Belanjawan) 2021.

“Jika ianya benar, saya lebih rela hari mengundi bagi bajet (Belanjawan) 2021 ditunda,” katanya merujuk kepada sesi pengundian belanjawan dijangka diadakan pada 25 November.

Najib kurang senang dengan pengumuman menghapuskan syarat kuarantin wajib, dengan mengatakan walaupun jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah menunjukkan trend menurun sejak minggu lepas tetapi jumlah kes dikesan dari kategori “lain-lain saringan” masih tinggi.

“Pada saya ‘lain-lain saringan’ ini yang paling bahaya kerana ia adalah kes tidak berkait dengan mana-mana kluster yang sudah dikenal pasti dan setiap kes dari kategori ini mampu melahirkan sebuah kluster baharu.

“Biarpun Selangor mencatat jumlah kes baharu yang sangat tinggi semalam (1,203) berbanding Sabah (289), jumlah kes dari kategori ‘lain-lain saringan’ adalah 27 (di Selangor) berbanding 73 di Sabah,” katanya.

Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan kuarantin wajib 14 hari bagi individu yang tiba dari Sabah akan dihentikan berkuat kuasa esok.

Dalam kenyataan, kementerian itu menyatakan semua individu yang tiba dari Sabah hanya perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19, tiga hari sebelum berlepas dari Sabah ke negeri lain.

“Sekiranya mereka ini positif ujian pengesanan Covid-19 atau sekiranya bergejala, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah.

“Bagi yang positif, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan manakala bagi individu yang bergejala akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan,” menurut kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-