Sunday, November 1, 2020

Sah! Tiada TPM dan rombakan kabinet, kata sumber

November 1, 2020 8:33 am


Khabar angin pelbagai media mengenai Muhyiddin Yassin bakal melantik timbalan perdana menteri daripada Umno disahkan sebagai tidak benar.

Spekulasi itu menyebabkan ramai wartawan membanjiri Ibu Pejabat Umno sehingga lewat malam pada Rabu dengan sangkaan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno akan menamakan calon timbalan perdana menteri yang kosong sejak Muhyiddin mengangkat sumpah pada Februari selepas runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Malahan ada juga yang menyangka Kabinet akan dirombak selepas ugutan daripada sejumlah pemimpin Umno termasuk presidennya untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Itu adalah sebahagian daripada permainan siber yang menyebabkan media terperangkap. Sebenarnya, tiada tawaran seperti itu (jawatan TPM kepada Umno) daripada perdana menteri,” kata sumber yang mengetahui mengenai perbincangan antara Umno dan Bersatu kepada MalaysiaNow.

Beliau menambah tumpuan kini diberikan kepada belanjawan yang akan dibentangkan Muhyiddin, belanjawan pertama semenjak Covid-19 mengucar-ngacirkan perniagaan sehingga memaksa kerajaan membelanjakan berbilion ringgit untuk menyelamatkannya.

Spekulasi pelantikan timbalan perdana menteri timbul ketika ketegangan antara dua pemimpin Umno dan Muhyiddin.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak yang mengetuai Barisan Nasional (BN) sebelum tumbang pada pilihan raya 2018, meningkatkan tekanan kepada perdana menteri agar memberikan lebih banyak jawatan kanan kerajaan kepada parti Melayu itu.

Umno yang mempunyai 39 ahli Parlimen menyokong Muhyiddin untuk membentuk kerajaan selepas kerajaan PH tumbang pada Februari.

Permintaan utama mereka ialah Muhyiddin melantik timbalan perdana menteri, jawatan yang disasarkan ahli politik bercita-cita tinggi dalam sejarah politik Malaysia.

Muhyiddin sendiri merupakan timbalan perdana menteri sebelum dipecat Najib pada 2015 kerana mengkritik cara kerajaan menguruskan skandal 1MDB.


Spekulasi pelantikan timbalan perdana menteri timbul ketika ketegangan antara dua pemimpin Umno dan Muhyiddin.

“Seseorang itu tidak perlu terlalu mempercayai benda karut untuk mengetahui jawatan itu membawa sial,” kata sumber sama. “Tetapi struktur kompleks politik Melayu kadang-kala melihat jawatan No 2 sebagai sangat penting.”

“Begitu sedikit contoh seorang TPM menjadi PM. Sama ada bergaduh dengan bosnya, dipecat atau dalam kes Zahid, kalah pilihan raya,” katanya, merujuk kepada Zahid yang menjadi timbalan perdana menteri kepada Najib selama tiga tahun sebelum BN tumbang pada pilihan raya 2018.

Tambahnya pelantikan ke jawatan TPM “satu resepi yang pasti akan menyebabkan politik menjadi lebih tidak stabil”.

“Dan ia bertentangan dengan arahan pihak istana yang memberi amaran supaya ahli politik untuk tidak menggangu usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19 menerusi ketidakstabilan dan ‘politicking’, ” kata sumber itu, yang pada sebelum ini memberitahu MalaysiaNow tentang ketegangan ketika mesyuarat sulit antara pemimpin utama parti.

Mengambil contoh pada pertemuan itu, Zahid menuntut dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Malah sebelum butiran mengenai pertemuan dibocorkan kepada MalaysiaNow, sekumpulan pemimpin Umno sudah bercakap mengenai “perjanjian lebih baik untuk Umno” di bawah kerajaan PN, termasuk rombakan Kabinet.

Satu kenyataan lewat malam yang dikeluarkan oleh Zahid, selepas mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin tertinggi Umno bagaimanapun memadamkan khabar angin mendakwa ahli majlis tertinggi akan menamakan Zahid sebagai calon tunggal untuk jawatan TPM.

Nama-nama lain yang turut disebut dalam portal-portal berita termasuk Hishammuddin Hussein, Annuar Musa dan Ismail Sabri Yaakob, yang menjawat jawatan penting dalam Kabinet.

Apabila MalaysiaNow cuba mendapatkan mengenai butiran dibincangkan pada Rabu, beberapa pemimpin Umno bertindak mengunci mulut.

“Ia terlalu rumit,” kata salah seorang daripada mereka. “Saya tidak menafikan isu (pelantikan TPM) turut dibincangkan, tetapi kami juga berbincang mengenai cara bagaimana lebih banyak bantuan boleh disalurkan kepada rakyat untuk menghadapi Covid-19.”

Satu sumber peringkat tertinggi Umno berkata, sudah terdapat cakap-cakap dalam kalangan pemimpin tertinggi parti sebarang tindakan Muhyiddin untuk melantik calon Umno ke jawatan TPM hanya akan memecahbelahkan lagi parti itu.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan Muhyiddin mungkin memberikan beberapa bentuk konsesi kepada Umno, tetapi tidak menambah lagi kedudukan Umno dalam Kabinet seperti diminta Zahid dan Najib.

Berita penuh: https://www.malaysianow.com/berita/2020/10/31/tiada-tpm-tiada-rombakan-kabinet-tumpuan-kepada-belanjawan/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-