Friday, November 27, 2020

Undian Bajet 2021… Pembangkang Celaru Usaha Mahfuz Tidak Membuahkan Hasil

 Berita Utama
umno-online.my
27 November 2020

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Sesi penggulungan Bajet 2021 di Dewan Rakyat semalam bukan sahaja memperlihatkan usaha yang telah dibuat oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam membawa isu pengeluaran Akaun Satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diterima kerajaan, malah memperlihatkan kecelaruan di kalangan ahli Parlimen pembangkang.
Apa tidaknya… usaha Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang bangun untuk memohon undi belah bahagian tidak membuahkan hasil apabila hanya 13 ahli parlimen pembangkang lain yang turut bangun bersama beliau.

Sedangkan undi belah bagi memerlukan 15 ahli parlimen menyokong dan akhirnya akhirnya Bajet 2021 diluluskan menerusi suara menyokong.

Semakan dibuat kakitangan Dewan Rakyat memperlihatkan hanya 13 ahli Parlimen yang berdiri untuk menyokong cadangan Mahfuz.

Terdahulu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggulung perbahasan dan menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen.

Dalam penggulungan itu juga, Tengku Zafrul turut mengumumkan bahawa Program i-Sinar yang membenarkan pengeluaran wang daripada Akaun Satu KWSP itu, kini dibuka kepada semua lapan juta pencarum dengan jumlah pengeluaran maksimum dinaikkan kepada RM10,000.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu akan dibahas pada peringkat jawatankuasa selama 11 hari mulai Isnin (30 Nov).

Tengku Zafrul ketika sesi penggulungan peringkat dasar rang undang-undang itu antara lain menarik perhatian ahli Parlimen bahawa akan ada usul pindaan pada peringkat jawatankuasa kelak.

Selepas ini ia akan dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk dibahaskan sebelum ia sekali lagi diundi sebelum diluluskan.

 – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-