Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Sunday, December 6, 2020

Amaran Tuan Ibrahim: Jangan sampai kerajaan baharu Perak dikuasai Pakatan Harapan

Faiz Zainudin
-December 6, 2020 9:00 AM
Umno mahukan kerusi MB Perak yang dikosongkan oleh Ahmad Faizal Azumu daripada PPBM tetapi PAS enggan menyertai pembentukan kerajaan negeri baharu.

IPOH: Pendirian muktamad PAS berhubung kemelut politik negeri itu menjadi tumpuan susulan peletakan jawatan oleh Ahmad Faizal Azumu semalam untuk memberi laluan kepada pelantikan menteri besar baharu.

Persoalan pokok adalah sama ada PAS akan memberikan sokongan kepada calon Umno sekiranya diperkenan sebagai Menteri Besar baharu oleh Sultan Perak.

Lebih-lebih lagi, jika calon Umno untuk jawatan itu terpaksa bergantung kepada Adun Pakatan Harapan (PH) bagi memperolehi sokongan majoriti di DUN Perak.

Lewat semalam, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengajak Umno ke meja perbincangan untuk memastikan Perikatan Nasional (PN) terus menerajui Perak sepenuhnya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri yang bakal dibentuk harus dipastikan sebagai “bukannya kerajaan yang dikuasai oleh pembangkang.”

“Ia (Perak) harus kekal di bawah kerajaan PN. Ini perlu dijaga dan kalau ada apa masalah, perlu ada perundingan bersama. Apa pun, saya perlu menghormati Umno dan yakin parti itu ada jalan penyelesaian,” katanya.

Kenyataan Tuan Ibrahim menyusul selepas Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan menegaskan parti itu tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri baru tetapi hanya mahu “berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional.”

Kenyataan beliau dikeluarkan setelah beberapa pemimpin Umno menegaskan kekosongan jawatan MB Perak patut diisi calon parti itu kerana ia mempunyai jumlah Adun paling ramai.
Kenyataan Takiyuddin itu boleh ditafsirkan sebagai PAS tidak akan menyertai barisan kepimpinan kerajaan negeri dan menerima jawatan berkaitan yang akan diputuskan oleh menteri besar baharu yang bakal dilantik.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria akur pihaknya terikat dengan keputusan PAS pusat susulan penyingkiran Faizal sebagai ketua kerajaan negeri.

“Soal pembentukan kerajaan baharu kita serah kepada pucuk pimpinan. (Untuk) PAS Perak, setakat ini kita tunggu arahan dan keputusan dari pucuk pimpinan untuk pembentukan kerajaan negeri sebab ini melibatkan politik nasional,” kata beliau.

Faizal adalah timbalan presiden PPBM yang mempunyai lima Adun di Perak manakala PAS mempunyai tiga.

Walaupun Umno mempunyai 25 Adun, tanpa sokongan padu PPBM dan PAS, parti itu terpaksa mengharapkan sokongan PH untuk meraih kerusi MB.

Razman, yang juga Adun Gunung Semanggol, menegaskan, keutamaan pihaknya ialah terus menegakkan PN sebagai kerajaan negeri.

Beliau berkata ketetapan itu selaras dengan keputusan pucuk pimpinan PAS menyokong kerajaan pimpinan Faizal sebelum ini menerusi permuafakatan PAS, Umno, dan PPBM.

“Jadi kita telah setuju untuk (terus) mempertahankan kerajaan PN yang telah kita persetujui bersama (sebelum ini),” kata beliau.

“Prinsip PAS adalah kita tidak akan bersama PPBM sahaja tanpa Umno dan tidak akan bersama Umno sahaja tanpa PBBM,” katanya.

Namun, prinsip itu tentunya sukar didokong sepenuhnya jika kenyataan Takiyuddin membawa maksud PAS tidak akan menyertai kerajaan baharu sekiranya calon Umno di lantik menggantikan Faizal.

Yang pasti, apa jua pendirian muktamad PAS Pusat, ia akan dipatuhi pimpinan negeri.

“Sekarang kita tunggu arahan pimpinan pusat (sama ada akan sertai pentadbiran kerajaan baru atau tidak),”kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri Perak, Abd Qahar Syam kepada FMT.

Pentadbiran Faizal tumbang selepas beliau hilang sokongan majoriti wakil rakyat di DUN menerusi usul undi percaya yang dibentangkan Umno.

Sebanyak 48 Adun, termasuk 24 daripada Umno, tidak menyokong kepimpinan Faizal, sekali gus memaksa beliau meletak jawatan semalam.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-