Tuesday, December 1, 2020

Jelas kita tak bersatu, Pemuda Amanah tegur pembangkang selepas 2 RUU lepas

FMT Reporters
-December 1, 2020 11:14 AM
Shazni Munir Mohd Ithnin.

PETALING JAYA: Pemuda Amanah menegur pembangkang kerana gagal bersatu sehingga menyebabkan dua rang undang-undang berkaitan Belanjawan 2021 diluluskan semalam.

Katanya, keputusan undian belah bahagi di Dewan Rakyat semalam jelas menunjukkan Ahli Parlimen pembangkang tidak mempunyai persefahaman, malah ada yang tidak hadir ke Parlimen.

“Usahkan mengambilalih kerajaan, sewajarnya semua ahli Parlimen pembangkang bekerjasama dahulu, serta mengenepikan sebarang sentimen yang membibit perpecahan,” kata Ketua Pemuda Shazni Munir Mohd Ithnin dalam kenyataan.

Semalam, undian belah bahagi menyaksikan pembangkang gagal ‘halang’ peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan menerusi RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa diluluskan, di sebalik kritikan mereka.

Undian ke atas peruntukan JPM menyaksikan hanya 95 wakil rakyat tidak bersetuju berbanding 105 bersetuju, dengan 20 tidak hadir; manakala bagi MOF pula 106 bersetuju dan 19 tidak hadir.

JPM diperuntukkan RM11.69 bilion, iaitu RM4.47 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM7.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Kementerian Kewangan diperuntukan sebanyak RM35.1 bilion, iaitu RM20.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM14.1 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Khamis lalu, Belanjawan 2021 yang berjumlah RM322 bilion diluluskan peringkat dasar dengan suara majoriti, selepas ahli Parlimen pembangkang dan bebas gagal mendapatkan 15 ahli Parlimen untuk menyokong undi belah bahagi.

1 comment:

  1. Kukuhkan ph... Amanah.. Dap.. Pkr. Kita lawan masa pru15..

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-