Sunday, December 6, 2020

Perikatan atau Pakatan? Umno pilih kerajaan Perak

Ahad, 06 Dis 2020 08:10 AM MYT
Penjajaran politik luar biasa mungkin berlaku di Perak jika kompromi antara Bersatu, PAS dan Umno gagal dicapai.
Foto oleh Ahmad Zamzahuri

KUALA LUMPUR, 6 Dis — Pendirian Umno agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan semua exco di Perak dikekalkan menunjukkan masih ada ruang kompromi antara gabungan itu untuk menyelesaikan kemelut politik berhubung pembentukan kerajaan negeri.

Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata ia juga menunjukkan bahawa situasi yang berlaku hanya bertujuan menukar Menteri Besar sahaja, bukan gabungan kerajaannya.

“Kenyataan Umno itu mungkin melegakan banyak pihak, ia menandakan bahawa masih terdapat kompromi antara Bersatu, PAS dan Umno untuk mengekalkan status quo sedia ada,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini malam tadi.

Kelmarin, Umno melalui Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerajaan PN di Perak mesti dikekalkan dan semua exco juga mesti diteruskan.

“Umno juga berpendirian bahawa Bersatu dan PAS harus mendukung kerajaan PN di negeri Perak,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Mazlan juga berpandangan situasi yang berlaku di Perak merupakan simulasi politik yang tidak terjangka dan percaya pihak yang terlibat akan membuat pertimbangan sewajarnya bagi memastikan nasib rakyat diutamakan.

“Mungkin pihak yang berada di Perak boleh bertenang dan saya percaya ahli politik sedang berunding, mereka ada fikiran sendiri, yang penting kebajikan rakyat Perak perlu diambil kira dalam situasi negara berdepan pandemik Covid-19 dan ketidakseimbangan ekonomi, ahli politiik perlu membuat keputusan terbaik,” katanya.

Krisis pembentukan Kerajaan Negeri Perak tercetus selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadap Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.

Dalam undian terhadap usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) itu, Ahmad Faizal hanya mendapat 10 undi berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

Ahmad Faizal semalam meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed pula berkata penjajaran politik luar biasa mungkin berlaku di Perak jika kompromi antara Bersatu, PAS dan Umno gagal dicapai.

Beliau berkata gabungan antara Umno dengan pembangkang iaitu Amanah dan PKR mungkin berlaku memandangkan tiada mana-mana parti yang boleh membentuk kerajaan sendiri kerana tidak mempunyai kerusi yang mencukupi untuk berbuat demikian.

“Tiada mana-mana parti yang memperoleh 30 kerusi (majoriti mudah) sekarang ini, maka terpaksa membuat gabungan dan pelantikan menteri besar yang ke-14 perlu ada gabungan untuk membentuk kerajaan negeri.

“Yang saya boleh jangkakan di sini kemungkinan yang pertama status quo iaitu perubahan menteri besar sahaja yang besar kemungkinan datang daripada Umno itu sendiri kerana mempunyai 25 kerusi, status quo kekal iaitu 34 mewakili kerajaan (BN 25 kerusi, Bersatu 5 kerusi, PAS 3 dan Gerakan 1) ataupun berlaku penjajaran politik yang luar biasa melibatkan pembangkang dan kerajaan.

“Saya ambil satu contoh, BN ada 25 kerusi (jika) bergabung dengan PKR dan Amanah mereka mempunyai sekitar 33 kerusi, dan jika kompromi antara Bersatu, Umno dan PAS itu tidak dapat dicapai mungkin situasi di luar jangka itu boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata ini sekali gus menarik perhatian banyak pihak yang menantikan sama ada penjajaran politik dan gabungan kerajaan negeri yang berbeza dengan negeri lain akan berlaku di Perak.

 — Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-